Google menyediakan versi terjemahan Pusat Bantuan kami, walaupun terjemahan tersebut tidak bertujuan untuk mengubah kandungan dasar kami. Versi bahasa Inggeris ialah bahasa rasmi yang kami gunakan untuk menguatkuasakan dasar kami. Untuk melihat artikel ini dalam bahasa lain, gunakan menu lungsur bahasa pada bahagian bawah halaman.
Pengguna Display & Video 360 mesti mematuhi dasar Google Ads ini. Lawati pusat bantuan Display & Video 360 untuk mengetahui pengehadan tambahan.
Selamat datang ke Pusat Dasar Pengiklanan Google
Ikhtisar dasar kami dan cara kami menguatkuasakan dasar tersebut
Kami berusaha untuk menyokong ekosistem pengiklanan digital yang sihat—sesuatu yang boleh dipercayai dan telus, dan berfungsi untuk pengguna, pengiklan dan penerbit. Tujuan pusat bantuan ini adalah untuk membantu anda membina kempen Google Ads yang selaras dengan dasar pengiklanan kami yang disenaraikan di bawah.
Dasar ini direka untuk memastikan pengalaman yang selamat dan positif bagi pengguna kami dan mematuhi undang-undang yang berkenaan. Ini bermakna bahawa dasar kami melarang kandungan yang berbahaya kepada pengguna dan ekosistem pengiklanan secara keseluruhan.
Dasar pengiklanan kami meliputi 4 bidang yang luas:
Kandungan yang dilarang: Kandungan yang tidak boleh anda iklankan pada Rangkaian Google Amalan yang dilarang: Perkara yang tidak boleh anda lakukan jika anda mahu mengiklan dengan kami Kandungan dan ciri yang dihadkan: Kandungan yang boleh anda iklankan, namun dengan pengehadan Editorial dan teknikal: Standard kualiti untuk iklan, laman web dan apl anda Klik pada dasar di bawah untuk mendapatkan definisi dasar, contoh dan langkah penyelesaian masalah.
Kami menggunakan gabungan penilaian Google AI dan manusia untuk memastikan iklan mematuhi dasar ini. Penguatkuasaan teknologi kami menggunakan Google AI, yang dimodelkan atas keputusan jurusemak, untuk membantu kami melindungi pengguna dan memastikan platform iklan kami selamat. Kes yang lebih kompleks, unik atau teruk sering kali disemak dan dinilai oleh pakar kami yang dilatih khusus.
Kami mengambil tindakan pada kandungan yang melanggar dasar kami. Perkara ini mungkin termasuk menolak iklan yang melanggar dasar supaya tidak disiarkan, selain menggantung akaun kerana pelanggaran yang berulang atau besar. Kami memandang serius pelanggaran berulang dasar kami dan terus mengembangkan sistem bantahan untuk pesalah berulang.
Kami akan memberi anda maklumat berkenaan dengan keputusan kami untuk sebarang tindakan penguatkuasaan pelanggaran dasar yang kami lakukan. Jika salah satu iklan anda tidak diluluskan, anda boleh membetulkan iklan tersebut atau membuat rayuan terhadap keputusan tersebut (atau di sini untuk iklan DV360). Anda juga boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan penggantungan akaun (atau di sini untuk rayuan DV360). Untuk membolehkan pautan ini berfungsi, anda perlu log masuk ke akaun Google Ads anda.
Kandungan yang dilarang
Barangan tiruan
Google Ads melarang penjualan atau promosi penjualan barangan tiruan. Barangan tiruan mempunyai tanda dagangan atau logo yang sama atau tidak dapat dibezakan dengan ketara daripada tanda dagangan yang lain. Barangan palsu meniru ciri jenama produk sebagai cubaan untuk kelihatan seperti produk tulen pemilik jenama. Dasar ini digunakan pada kandungan iklan anda dan tapak web atau apl anda.
Produk atau perkhidmatan berbahaya
Kami mahu membantu memastikan pengguna selamat dalam talian dan di luar talian, oleh itu kami tidak membenarkan promosi sesetengah produk atau perkhidmatan yang menyebabkan kerosakan, bahaya atau kecederaan.Contoh kandungan berbahaya: Dadah rekreasi (kimia atau herba); bahan psikoaktif; peralatan yang memudahkan penggunaan dadah; senjata, peluru, bahan letupan dan bunga api; arahan membuat letupan atau produk berbahaya yang lain; produk tembakau
Menggalakkan gelagat tidak jujur
Kami menghargai kejujuran dan keadilan, maka kami tidak membenarkan promosi produk atau perkhidmatan yang direka untuk menggalakkan gelagat tidak jujur.Contoh produk atau perkhidmatan yang menggalakkan gelagat tidak jujur: Perisian atau arahan penggodaman; perkhidmatan yang direka bentuk untuk meningkatkan trafik iklan atau laman web secara dibuat-buat; dokumen palsu; perkhidmatan penipuan akademik
Kandungan tidak sesuai
Kami menghargai kepelbagaian dan menghormati orang lain serta kami berusaha untuk mengelakkan daripada menyinggung perasaan pengguna, jadi kami tidak membenarkan iklan atau destinasi yang memaparkan kandungan yang mengejutkan atau menggalakkan kebencian, sikap tidak bertoleransi, diskriminasi atau keganasan.
Contoh kandungan yang tidak sesuai atau menyinggung perasaan: pembulian atau menakut-nakutkan seseorang individu atau kumpulan, mendiskriminasi kaum, alatan kumpulan benci, imej grafik tempat kejadian jenayah atau kemalangan, kekejaman terhadap haiwan, pembunuhan, mencederakan diri sendiri, ugutan atau peras ugut, jualan atau perdagangan spesies terancam, iklan yang menggunakan bahasa lucah
Amalan yang dilarang
Menyalahgunakan rangkaian iklan
Kami mahu iklan yang disiarkan di seluruh Rangkaian Google agar berguna, pelbagai, berkaitan dan selamat untuk pengguna. Kami tidak membenarkan pengiklan menyiarkan iklan, kandungan atau destinasi yang cuba menipu atau memintas proses semakan iklan kami.Contoh penyalahgunaan rangkaian iklan: mempromosikan kandungan yang mengandungi perisian hasad; "penyembunyian" atau menggunakan teknik lain untuk menyembunyikan destinasi sebenar yang pengguna dihalakan; "arbitraj" atau mempromosikan destinasi bagi tujuan mutlak atau utama untuk memaparkan iklan; mempromosikan destinasi "jambatan" atau "gerbang" yang direka bentuk semata-mata untuk menghantarkan pengguna ke tempat lain; mengiklan dengan niat mutlak atau utama untuk mendapatkan sokongan rangkaian sosial awam daripada pengguna; "mempermainkan" atau memanipulasi tetapan dalam percubaan untuk memintas sistem semakan dasar kami
Pengumpulan dan penggunaan data
Kami mahu pengguna percaya bahawa maklumat tentang mereka akan dihormati dan dikendalikan dengan sewajarnya. Oleh itu, rakan kongsi pengiklanan kami tidak boleh menyalahgunakan maklumat ini, mahupun mengumpulkannya untuk tujuan yang tidak jelas atau tanpa langkah-langkah pendedahan atau keselamatan yang sesuai.
Harap maklum bahawa dasar tambahan berkuat kuasa apabila menggunakan pengiklanan diperibadikan, yang termasuk pemasaran semula dan khalayak tersuai. Jika anda menggunakan ciri penyasaran pengiklanan diperibadikan, pastikan anda menyemak dasar pengumpulan dan penggunaan data iklan diperibadikan.
Contoh maklumat pengguna yang perlu dikendalikan dengan cermat: nama penuh; alamat e-mel; alamat surat-menyurat; nombor telefon; nombor kad pengenalan, pencen, keselamatan sosial, ID cukai, penjagaan kesihatan atau lesen memandu; tarikh lahir atau nama keluarga sebelum berkahwin selain sebarang maklumat di atas; status kewangan; fahaman politik; orientasi seksual; kaum atau keetnikan; agama
Contoh pengumpulan & penggunaan data yang tidak bertanggungjawab: mendapatkan maklumat kad kredit melalui pelayan yang tidak selamat, promosi yang mendakwa mengetahui orientasi seksual atau status kewangan pengguna, pelanggaran dasar kami yang berkenaan dengan pengiklanan dan pemasaran semula berasaskan minat
Salah nyataan
Kami mahu pengguna mempercayai iklan pada platform kami, jadi kami berusaha untuk memastikan iklan anda jelas dan jujur serta menyediakan maklumat yang pengguna perlukan untuk membuat keputusan yang termaklum. Kami tidak membenarkan iklan atau destinasi yang menipu pengguna dengan mengecualikan maklumat produk yang berkaitan atau memberikan maklumat yang mengelirukan tentang produk, perkhidmatan atau perniagaan.
Contoh salah nyataan: mengeluarkan atau menyembunyikan butiran pengebilan seperti cara, amaun dan masa pengguna akan dikenakan caj; mengeluarkan atau menyembunyikan caj yang berkaitan dengan perkhidmatan kewangan seperti kadar faedah, yuran dan penalti; gagal memaparkan nombor cukai atau lesen, maklumat hubungan atau alamat fizikal apabila berkenaan; membuat tawaran yang sebenarnya tidak wujud; membuat dakwaan yang memberikan gambaran salah atau tidak realistik berkenaan dengan pengurangan berat badan atau keuntungan kewangan; mengutip derma atas tujuan palsu; "pancingan data" atau menyamar sebagai syarikat yang sah untuk meminta pengguna menyerahkan maklumat peribadi atau kewangan
Kandungan dan ciri yang dihadkan
Dasar di bawah meliputi kandungan yang kadangkala bersifat sensitif dari segi undang-undang atau budaya. Pengiklanan dalam talian boleh menjadi cara yang berkesan untuk menjangkau pelanggan, tetapi di kawasan yang sensitif, kami juga bekerja keras bagi mengelakkan daripada memaparkan iklan pada masa dan tempat iklan tersebut mungkin tidak sesuai.
Atas sebab tersebut, kami membenarkan kandungan di bawah dipromosikan, tetapi secara terhad. Promosi ini mungkin tidak dipaparkan kepada setiap pengguna di setiap lokasi, dan pengiklan mungkin perlu memenuhi keperluan tambahan sebelum iklan mereka layak disiarkan. Harap maklum bahawa tidak semua produk, ciri atau rangkaian iklan dapat menyokong kandungan terhad ini. Maklumat lanjut boleh ditemukan pada Pusat Dasar.
Pengendalian Iklan Lalai
Google komited untuk memberikan pengalaman iklan yang selamat dan boleh dipercayai kepada semua pengguna. Oleh sebab itulah kami mengehadkan penyiaran jenis kategori iklan tertentu untuk pengguna yang tidak log masuk atau pengguna yang ditentukan oleh sistem kami sebagai berusia bawah 18 tahun.
Kandungan seks
Iklan perlu menghormati pilihan pengguna dan mematuhi peraturan undang-undang. Kami mengehadkan jenis kandungan seks tertentu dalam iklan dan destinasi, yang hanya akan dipaparkan dalam senario yang terhad berdasarkan pertanyaan carian pengguna, umur pengguna dan undang-undang tempatan tempat iklan itu disiarkan. Iklan tidak boleh menyasarkan kanak-kanak bawah umur.
Ketahui tentang akibatnya jika anda melanggar dasar kami.
Contoh kandungan seks yang dihadkan: Kemaluan dan payudara wanita yang kelihatan, pertemuan seks kasual, mainan seks, kelab tarian bogel, sembang langsung tidak senonoh berunsur seks dan model dalam lagak seksual.
Arak
Kami mematuhi undang-undang alkohol tempatan dan standard industri, jadi kami tidak membenarkan jenis pengiklanan berkaitan dengan alkohol yang tertentu. Ini meliputi alkohol dan juga minuman yang menyerupai alkohol. Sesetengah jenis iklan yang berkaitan dengan alkohol dibenarkan jika iklan tersebut memenuhi dasar di bawah, tidak menyasarkan golongan bawah umur dan hanya menyasarkan negara yang jelas dibenarkan untuk memaparkan iklan alkohol.
Contoh minuman arak yang dihadkan: bir, wain, sake, spirit atau arak keras, Champagne, wain keras, bir tanpa alkohol, wain tanpa alkohol dan spirit suling tanpa alkohol
Hak cipta
Kami mematuhi undang-undang hak cipta tempatan dan melindungi hak pemegang hak cipta, oleh hal yang demikian, kami tidak membenarkan penyiaran iklan yang tidak mendapat keizinan untuk menggunakan kandungan berhak cipta. Jika anda mendapat keizinan secara sah untuk menggunakan kandungan berhak cipta, mohon untuk mendapatkan pensijilan (atau di sini untuk DV360) untuk membuat pengiklanan. Jika anda melihat kandungan yang tidak mendapat keizinan, kemukakan aduan berkaitan dengan hak cipta.
Perjudian dan permainan
Kami menyokong pengiklanan perjudian yang bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang perjudian tempatan dan standard industri, jadi kami tidak membenarkan jenis pengiklanan berkaitan dengan perjudian yang tertentu. Iklan yang berkaitan dengan perjudian dibenarkan jika iklan tersebut mematuhi dasar di bawah dan pengiklan telah menerima pensijilan Google Ads yang sewajarnya. Iklan perjudian perlu menyasarkan negara yang diluluskan, mempunyai halaman pendaratan yang memaparkan maklumat tentang perjudian yang bertanggungjawab dan tidak sekali-kali menyasarkan golongan bawah umur. Semak peraturan tempatan bagi kawasan yang ingin disasarkan.
Contoh kandungan berkaitan perjudian yang dihadkan: kasino fizikal; laman yang membolehkan pengguna bertaruh untuk poker, bingo, rolet atau acara sukan; loteri kebangsaan atau swasta; laman pengagregat kebarangkalian sukan; laman yang menawarkan kod bonus atau tawaran promosi bagi laman perjudian; bahan pendidikan dalam talian untuk permainan berasaskan kasino; laman yang menawarkan permainan "poker untuk berseronok"; laman permainan tunai yang tidak berasaskan kasino
Penjagaan kesihatan dan ubat
Kami berazam untuk mematuhi peraturan pengiklanan bagi penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan, jadi kami berharap iklan dan destinasi mematuhi undang-undang dan standard industri yang bersesuaian. Sesetengah kandungan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan tidak boleh diiklankan langsung, sementara yang lain hanya boleh diiklankan jika pengiklan diperakui oleh Google dan menyasarkan negara yang diluluskan sahaja. Semak peraturan tempatan bagi kawasan yang ingin disasarkan.
Kandungan politik
Kami berharap semua iklan dan destinasi politik mematuhi undang-undang kempen dan pilihan raya tempatan bagi mana-mana kawasan yang menjadi sasaran iklan. Dasar ini termasuk “tempoh berdiam” pilihan raya menurut keperluan undang-undang.
Contoh kandungan politik: promosi parti atau calon politik, sokongan isu politik
Perkhidmatan kewangan
Kami mahu pengguna memperoleh maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan kewangan termaklum. Dasar kami direka bentuk untuk memberi pengguna maklumat untuk menimbang kos yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan kewangan serta melindungi pengguna daripada amalan yang memudaratkan atau berbentuk penipuan. Untuk tujuan dasar ini, kami menganggap produk dan perkhidmatan kewangan adalah yang berkaitan dengan pengurusan atau pelaburan wang serta mata wang kripto, termasuk nasihat diperibadikan.
Apabila mempromosikan produk dan perkhidmatan kewangan, anda hendaklah mematuhi peraturan negeri dan tempatan untuk mana-mana lokasi yang disasarkan oleh iklan anda — sebagai contoh, sertakan pendedahan khusus yang dikehendaki oleh undang-undang tempatan. Pengiklan perlu juga membuat penyelidikan sendiri tentang peraturan tempatan bagi mana-mana lokasi yang disasarkan oleh iklan mereka.
Tanda dagangan
Terdapat beberapa faktor yang menentukan masa tanda dagangan boleh digunakan dalam iklan Google Ads. Selain faktor yang diterangkan dalam Pusat Dasar kami, dasar ini hanya digunakan apabila pemilik tanda dagangan telah menghantar aduan yang sah kepada Google.Keperluan undang-undang
Anda bertanggungjawab pada setiap masa untuk memastikan bahawa anda mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang bersesuaian, di samping dasar pengiklanan Google, bagi semua lokasi sasaran siaran iklan anda.
Perniagaan terhad lain
Kami mengehadkan jenis perniagaan tertentu daripada mengiklan dengan kami untuk mengelakkan pengguna daripada dieksploitasi, walaupun perniagaan individu tertentu kelihatan mematuhi dasar kami yang lain. Berdasarkan semakan berterusan kami dan maklum balas daripada pengguna, pengawal selia serta pihak berkuasa perlindungan pengguna, kadangkala kami mengenal pasti produk atau perkhidmatan yang terdedah kepada penyalahgunaan. Jika kami berpendapat jenis perniagaan tertentu menimbulkan risiko yang tidak wajar terhadap keselamatan pengguna atau pengalaman pengguna, maka kami mungkin mengehadkan atau menghentikan iklan yang berkaitan daripada disiarkan.Format dan ciri iklan yang dihadkan
Terdapat berbilang faktor yang menentukan akses kepada format dan ciri iklan lanjutan pada iklan Google. Format iklan tertentu tidak tersedia untuk semua pengiklan sehingga mereka memenuhi keperluan khusus kami atau menyelesaikan proses persijilan.
Keperluan untuk kandungan yang dihasilkan untuk kanak-kanak
Pengiklan tidak boleh menyiarkan iklan diperibadikan pada kandungan yang ditetapkan sebagai dihasilkan untuk kanak-kanak. Lihat di sini untuk kategori yang dihadkan untuk pengiklanan bagi kandungan yang dihasilkan untuk kanak-kanak.
Perlindungan penyiaran iklan untuk kanak-kanak dan remaja
Pengalaman pengiklanan kami pada produk Google mestilah berguna, bermaklumat, dan yang paling penting, selamat untuk semua pengguna kami, termasuk kanak-kanak dan remaja. Dasar iklan kanak-kanak dan dasar iklan remaja Google melaksanakan perlindungan untuk melindungi pengguna yang berusia bawah 18 tahun, termasuk melumpuhkan pemeribadian iklan dan mengehadkan kategori iklan sensitif.
Penyiaran iklan terhad
Untuk melindungi integriti ekosistem Google Ads, kami mengehadkan tera iklan yang berpotensi lebih tinggi untuk menyebabkan penyalahgunaan atau mewujudkan pengalaman yang kurang memuaskan kepada pengguna kami. Dalam keadaan yang khusus ini, hanya pengiklan yang berkelayakan akan dapat menyiarkan iklan tanpa had tera. Ketahui lebih lanjut tentang masa penyiaran iklan terhad digunakan dan pengiklan yang berkelayakan.
Keperluan editorial & teknikal
Kami mahu menerbitkan iklan yang menarik untuk pengguna tanpa menjengkelkan atau menyukarkan pengguna untuk berinteraksi, oleh itu kami telah membangunkan keperluan editorial bagi memastikan iklan anda menarik untuk pengguna. Kami juga telah menetapkan keperluan teknikal untuk membantu pengguna dan pengiklan memanfaatkan pelbagai format iklan yang kami tawarkan sepenuhnya.
Editorial
Untuk menyediakan pengalaman pengguna yang berkualiti, Google mensyaratkan semua iklan, aset dan destinasi memenuhi standard editorial dan profesional yang tinggi. Kami hanya membenarkan iklan yang jelas, kelihatan profesional dan yang membawa pengguna kepada kandungan yang berkaitan, berguna dan mudah untuk pengguna berinteraksi.Contoh promosi yang tidak memenuhi keperluan editorial dan profesional ini:
- iklan terlalu umum yang mengandungi frasa kabur seperti "Beli produk di sini"
- penggunaan kata-kata, nombor, huruf, tanda baca atau simbol berbentuk gimik seperti PERCUMA, p-e-r-c-u-m-a dan P3₹€UM#!!
Keperluan destinasi
Kami mahu pengguna mempunyai pengalaman yang baik apabila mereka mengklik pada iklan, jadi destinasi iklan mesti menawarkan nilai yang unik kepada pengguna dan berfungsi, berguna serta mudah dinavigasi.Contoh promosi yang tidak memenuhi keperluan destinasi:
- URL paparan yang tidak menunjukkan URL laman penambat dengan tepat, seperti "google.com" membawa pengguna kepada "gmail.com"
- laman atau apl yang sedang dalam pembinaan, merupakan domain peletakan atau yang tidak berfungsi
- laman yang tidak dapat dilihat dalam penyemak imbas yang biasa digunakan
- laman yang telah melumpuhkan butang kembali penyemak imbas
Keperluan teknikal
Untuk membantu kami memastikan iklan adalah jelas dan berfungsi, pengiklan mesti memenuhi keperluan teknikal kami.
Keperluan format iklan
Dalam usaha membantu anda menyediakan pengalaman pengguna yang berkualiti dan menyampaikan iklan yang menarik dan kelihatan profesional, kami hanya membenarkan promosi yang mematuhi keperluan khusus untuk setiap iklan. Semak keperluan khusus format bagi semua format iklan yang anda gunakan.
Nota: Kami tidak membenarkan iklan "Tidak selamat untuk keluarga" dalam iklan imej, iklan video dan format iklan bukan teks yang lain. Baca lebih lanjut tentang Dasar kandungan dewasa kami.
Contoh keperluan format iklan: had aksara untuk tajuk atau kandungan iklan, keperluan saiz imej, had saiz fail, had panjang video, nisbah aspek
Perihal dasar kami
Google Ads membolehkan semua bentuk perniagaan, dari seluruh dunia, mempromosikan pelbagai produk, perkhidmatan, aplikasi dan laman web pada Google dan merentas rangkaian kami. Kami mahu membantu anda menjangkau pelanggan dan khalayak baharu serta yang sedia ada. Walau bagaimanapun, untuk membantu anda menghasilkan pengalaman pengguna yang selamat dan positif, kami mendengar maklum balas dan kebimbangan mereka tentang jenis iklan yang dilihat oleh mereka. Kami juga kerap menyemak perubahan dalam trend serta amalan dalam talian, norma industri dan peraturan. Akhir sekali, dalam usaha menggubal dasar kami, kami juga memikirkan nilai-nilai dan budaya kami sebagai syarikat di samping pertimbangan operasi, teknikal dan perniagaan. Hasilnya, kami telah membuat satu set dasar yang digunakan pada semua promosi di Rangkaian Google.
Google menghendaki pengiklan mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang bersesuaian dan dasar Google yang diterangkan di atas. Anda perlu membiasakan diri dan mengikuti perkembangan terkini keperluan ini untuk tempat perniagaan anda beroperasi, serta mana-mana tempat lain iklan anda dipaparkan. Apabila kami menemukan kandungan yang melanggar keperluan ini, kami mungkin menyekat kandungan tersebut daripada dipaparkan dan dalam kes pelanggaran yang berulang atau besar, kami mungkin menghalang anda daripada mengiklan dengan kami.
Pengiklan bertanggungjawab untuk tidak mempromosikan kandungan atau terlibat dalam gelagat yang membahayakan pengguna, pekerja atau ekosistem Ads kami. Jika kami melihat kandungan atau gelagat sedemikian, kami mungkin mengambil tindakan, termasuk, tetapi tidak terhad kepada mengehadkan atau menyekat iklan anda atau menggantung akaun anda.
Perlukan bantuan?
Jika anda mempunyai pertanyaan tentang dasar kami, beritahu kami: Hubungi Sokongan Google AdsBeritahu kami pendapat anda
Nilaikan sejauh manakah halaman ini membantu dan kongsi maklum balas anda dengan kami: