Dasar Google Ads

Google memberikan versi terjemahan Pusat Bantuan kami sebagai kemudahan, walaupun terjemahan tersebut tidak bertujuan mengubah kandungan dasar kami. Versi bahasa Inggeris ialah bahasa rasmi yang kami gunakan untuk menguatkuasakan dasar kami. Untuk melihat artikel ini dalam bahasa lain, gunakan menu lungsur bahasa di bahagian bawah halaman.

Pengguna Display & Video 360 mesti mematuhi dasar Google Ads ini. Lawati pusat bantuan Display & Video 360 untuk mendapatkan pengehadan tambahan.

Selamat datang ke Pusat Dasar Pengiklanan Google

Butang ini ialah butang pertama untuk pilihan dasar Google Ads, pilih untuk mengurus akaun anda menggunakan Pengurus dasar. Butang ini ialah butang kedua untuk pilihan dasar Google Ads, pilih untuk mengetahui cara membetulkan akaun digantung. Butang ini ialah butang ketiga untuk pilihan dasar Google Ads, pilih untuk melaporkan pelanggaran iklan.

Ikhtisar dasar kami

Kami ingin menyokong ekosistem pengiklanan digital yang sihat—yang boleh dipercayai dan telus serta berfungsi untuk pengguna, pengiklan dan penerbit. Tujuan pusat bantuan ini adalah untuk membantu anda membina kempen Google Ads yang selaras dengan dasar pengiklanan kami yang disenaraikan di bawah. Dasar ini direka bukan sahaja untuk mematuhi undang-undang tetapi memastikan pengalaman yang selamat dan positif bagi pengguna kami. Perkara ini bermakna bahawa dasar kami melarang sesetengah kandungan yang kami percaya berbahaya kepada pengguna dan ekosistem pengiklanan secara keseluruhan.

Kami menggunakan gabungan penilaian automatik dan penilaian manusia untuk memastikan Google Ads mematuhi dasar ini. 

Dasar pengiklanan kami meliputi empat bidang yang luas:

Google Ads policies | prohibited content Kandungan yang dilarang: Kandungan yang tidak boleh anda iklankan pada Google Network
Google Ads policies | prohibited practice Amalan yang dilarang: Perkara yang tidak boleh anda lakukan jika anda mahu mengiklan dengan kami
Google Ads policies | restricted content Kandungan dan ciri yang dihadkan: Kandungan yang boleh anda iklankan, namun dengan pengehadan
Google Ads policies | Editorial and technical Editorial dan teknikal: Standard kualiti untuk iklan, laman web dan apl anda

Klik pada dasar di bawah untuk mendapatkan definisi dasar, contoh dan langkah penyelesaian masalah. 

Kandungan yang dilarang

Barangan tiruan

Google Ads melarang penjualan atau promosi penjualan barangan tiruan. Barangan tiruan mempunyai tanda dagangan atau logo yang sama atau tidak dapat dibezakan dengan ketara daripada tanda dagangan yang lain. Barangan palsu meniru ciri jenama produk sebagai cubaan untuk kelihatan seperti produk tulen pemilik jenama. Dasar ini digunakan pada kandungan iklan anda dan tapak web atau apl anda. 


Produk atau perkhidmatan berbahaya

Kami mahu membantu memastikan pengguna selamat dalam talian dan di luar talian, oleh itu kami tidak membenarkan promosi sesetengah produk atau perkhidmatan yang menyebabkan kerosakan, bahaya atau kecederaan.

Contoh kandungan berbahaya: Dadah rekreasi (kimia atau herba); bahan psikoaktif; peralatan yang memudahkan penggunaan dadah; senjata, peluru, bahan letupan dan bunga api; arahan membuat letupan atau produk berbahaya yang lain; produk tembakau

Menggalakkan gelagat tidak jujur

Kami menghargai kejujuran dan keadilan, maka kami tidak membenarkan promosi produk atau perkhidmatan yang direka bentuk untuk menyebabkan tingkah laku yang tidak jujur.

Contoh produk atau perkhidmatan yang menggalakkan gelagat tidak jujur: Perisian atau arahan penggodaman; perkhidmatan yang direka bentuk untuk meningkatkan trafik iklan atau laman web secara dibuat-buat; dokumen palsu; perkhidmatan penipuan akademik

Kandungan tidak sesuai

Kami menghargai kepelbagaian dan menghormati orang lain serta kami berusaha untuk mengelakkan daripada menyinggung perasaan pengguna, jadi kami tidak membenarkan iklan atau destinasi yang memaparkan kandungan yang mengejutkan atau menggalakkan kebencian, sikap tidak bertoleransi, diskriminasi atau keganasan.

Contoh kandungan yang tidak sesuai atau menyinggung perasaan: pembulian atau menakut-nakutkan seseorang individu atau kumpulan, mendiskriminasi kaum, alatan kumpulan benci, imej kawasan jenayah atau kemalangan yang berbentuk grafik, kekejaman terhadap haiwan, pembunuhan, mencederakan diri sendiri, ugutan atau memeras ugut, jualan atau perdagangan spesies terancam, iklan yang menggunakan bahasa lucah


Amalan yang dilarang

Menyalahgunakan rangkaian iklan

Kami mahu iklan yang disiarkan di seluruh Rangkaian Google agar berguna, pelbagai, berkaitan dan selamat untuk pengguna. Kami tidak membenarkan pengiklan menyiarkan iklan, kandungan atau destinasi yang cuba menipu atau memintas proses semakan iklan kami.

Contoh penyalahgunaan rangkaian iklan: mempromosikan kandungan yang mengandungi perisian hasad; "penyembunyian" atau menggunakan teknik lain untuk menyembunyikan destinasi sebenar yang pengguna diarahkan; "arbitraj" atau mempromosikan destinasi bagi tujuan mutlak atau utama untuk memaparkan iklan; mempromosikan destinasi "jambatan" atau "gerbang" yang direka bentuk secara mutlak untuk menghantarkan pengguna ke tempat lain; mengiklankan dengan niat mutlak atau utama untuk mendapatkan sokongan rangkaian sosial awam daripada pengguna; "mempermainkan" atau memanipulasi tetapan dalam percubaan untuk memintas sistem semakan dasar kami

Pengumpulan dan penggunaan data

Kami mahu pengguna percaya bahawa maklumat tentang mereka akan dihormati dan dikendalikan dengan sewajarnya. Oleh itu, rakan kongsi pengiklanan kami tidak boleh menyalahgunakan maklumat ini, mahupun mengumpulkannya untuk tujuan yang tidak jelas atau tanpa langkah-langkah pendedahan atau keselamatan yang sesuai.

Harap maklum bahawa dasar tambahan berkuat kuasa apabila menggunakan pengiklanan diperibadikan, yang termasuk pemasaran semula dan khalayak tersuai. Jika anda menggunakan ciri penyasaran pengiklanan diperibadikan, pastikan anda menyemak dasar pengumpulan dan penggunaan data iklan diperibadikan.

Contoh maklumat pengguna yang perlu dikendalikan dengan cermat: nama penuh; alamat e-mel; alamat surat-menyurat; nombor telefon; nombor kad pengenalan, pencen, keselamatan sosial, ID cukai, penjagaan kesihatan atau lesen memandu; tarikh lahir atau nama keluarga sebelum berkahwin selain daripada sebarang maklumat di atas; status kewangan; fahaman politik; orientasi seksual; kaum atau keetnikan; agama

Contoh pengumpulan & penggunaan data yang tidak bertanggungjawab: mendapatkan maklumat kad kredit melalui pelayan yang tidak selamat, promosi yang mendakwa bahawa mengetahui orientasi seksual atau status kewangan pengguna, pelanggaran dasar kami yang berkenaan dengan pengiklanan dan pemasaran semula berasaskan minat

Salah nyataan

Kami mahu pengguna mempercayai iklan pada platform kami, jadi kami berusaha untuk memastikan iklan anda jelas dan jujur serta menyediakan maklumat yang pengguna perlukan untuk membuat keputusan yang termaklum. Kami tidak membenarkan iklan atau destinasi yang menipu pengguna dengan mengecualikan maklumat produk yang berkaitan atau memberikan maklumat yang mengelirukan tentang produk, perkhidmatan atau perniagaan.

Contoh salah nyataan: mengeluarkan atau menyembunyikan butiran pengebilan seperti cara, amaun dan masa pengguna akan dikenakan caj; mengeluarkan atau menyembunyikan caj yang berkaitan dengan perkhidmatan kewangan seperti kadar faedah, yuran dan penalti; gagal memaparkan nombor cukai atau lesen, maklumat hubungan atau alamat fizikal apabila berkenaan; membuat tawaran yang sebenarnya tidak wujud; membuat dakwaan yang memberi gambaran salah atau tidak realistik berkenaan dengan pengurangan berat badan atau keuntungan kewangan; mengutip derma atas tujuan palsu; "pancingan data" atau menyamar sebagai sebuah syarikat yang sah untuk meminta pengguna menyerahkan maklumat peribadi atau kewangan


Kandungan dan ciri yang dihadkan

Dasar di bawah meliputi kandungan yang kadangkala bersifat sensitif dari segi undang-undang atau budaya. Pengiklanan dalam talian boleh menjadi cara yang berkesan untuk menjangkau pelanggan, tetapi di kawasan yang sensitif, kami juga bekerja keras bagi mengelakkan daripada memaparkan iklan pada masa dan tempat iklan tersebut mungkin tidak sesuai.

Atas sebab tersebut, kami membenarkan kandungan di bawah dipromosikan, tetapi secara terhad. Promosi ini mungkin tidak dipaparkan kepada setiap pengguna di setiap lokasi dan pengiklan mungkin perlu memenuhi keperluan tambahan sebelum iklan mereka layak disiarkan. Harap maklum bahawa tidak semua produk, ciri atau rangkaian iklan dapat menyokong kandungan terhad ini. Maklumat lanjut boleh ditemukan di Pusat Dasar.

Pengendalian Iklan Lalai

Google komited untuk memberikan pengalaman iklan yang selamat dan boleh dipercayai kepada semua pengguna. Oleh sebab itulah kami mengehadkan penyiaran jenis kategori iklan tertentu untuk pengguna yang tidak log masuk atau pengguna yang ditentukan oleh sistem kami sebagai berusia bawah 18 tahun.

Kandungan seks

Iklan perlu menghormati pilihan pengguna dan mematuhi peraturan undang-undang. Kami mengehadkan jenis kandungan seks tertentu dalam iklan dan destinasi, yang hanya akan dipaparkan dalam senario yang terhad berdasarkan pertanyaan carian pengguna, umur pengguna dan undang-undang tempatan tempat iklan itu disiarkan. Iklan tidak boleh menyasarkan kanak-kanak bawah umur.

Ketahui tentang akibatnya jika anda melanggar dasar kami.

Contoh kandungan seks yang dihadkan: Kemaluan dan payudara wanita yang kelihatan, pertemuan seks kasual, mainan seks, kelab tarian bogel, sembang langsung tidak senonoh berunsur seks dan model dalam lagak seksual.

Alkohol

Kami mematuhi undang-undang alkohol tempatan dan standard industri, jadi kami tidak membenarkan jenis pengiklanan berkaitan dengan alkohol yang tertentu. Ini meliputi alkohol dan juga minuman yang menyerupai alkohol. Sesetengah jenis iklan yang berkaitan dengan alkohol dibenarkan jika iklan tersebut memenuhi dasar di bawah, tidak menyasarkan golongan bawah umur dan hanya menyasarkan negara yang jelas dibenarkan untuk memaparkan iklan alkohol.

Contoh minuman beralkohol yang dihadkan: bir, wain, sake, spirit atau arak keras, Champagne, wain keras, bir tidak beralkohol, wain tidak beralkohol dan spirit suling tidak beralkohol

Hak cipta

Kami mematuhi undang-undang hak cipta tempatan dan melindungi hak pemegang hak cipta, jadi kami tidak membenarkan penyiaran iklan yang tidak diizinkan untuk menggunakan kandungan berhak cipta. Jika anda diizinkan secara sah untuk menggunakan kandungan berhak cipta, mohon pensijilan untuk mengiklan. Jika anda melihat kandungan yang tidak diizinkan, kemukakan aduan berkaitan dengan hak cipta.

Perjudian dan permainan

Kami menyokong pengiklanan perjudian yang bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang perjudian tempatan dan standard industri, jadi kami tidak membenarkan jenis pengiklanan berkaitan dengan perjudian yang tertentu. Iklan yang berkaitan dengan perjudian dibenarkan jika iklan tersebut mematuhi dasar di bawah dan pengiklan telah menerima pensijilan Google Ads yang sewajarnya. Iklan perjudian perlu menyasarkan negara yang diluluskan, mempunyai halaman pendaratan yang memaparkan maklumat tentang perjudian yang bertanggungjawab dan tidak sekali-kali menyasarkan golongan bawah umur. Semak peraturan tempatan bagi kawasan yang ingin disasarkan.

Contoh kandungan berkaitan perjudian yang dihadkan: kasino fizikal; laman pengguna boleh bertaruh untuk poker, bingo, rolet atau acara sukan; loteri kebangsaan atau swasta; laman pengagregat kebarangkalian sukan; laman yang menawarkan kod bonus atau tawaran promosi bagi laman perjudian; bahan pendidikan dalam talian untuk permainan berasaskan kasino; laman yang menawarkan permainan "poker untuk berseronok"; laman permainan tunai yang tidak berasaskan kasino

Penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan

Kami berazam untuk mematuhi peraturan pengiklanan bagi penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan, jadi kami berharap iklan dan destinasi mematuhi undang-undang dan standard industri yang bersesuaian. Sesetengah kandungan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan tidak boleh diiklankan langsung, sementara yang lain hanya boleh diiklankan jika pengiklan diperakui oleh Google dan menyasarkan negara yang diluluskan sahaja. Semak peraturan tempatan bagi kawasan yang ingin disasarkan.

Kandungan politik

Kami berharap semua iklan dan destinasi politik mematuhi undang-undang kempen dan pilihan raya tempatan bagi mana-mana kawasan yang menjadi sasaran iklan. Dasar ini termasuk “tempoh berdiam” pilihan raya menurut keperluan undang-undang.

Contoh kandungan politik: promosi parti atau calon politik, sokongan isu politik

Perkhidmatan kewangan

Kami mahu pengguna memperoleh maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan kewangan termaklum. Dasar kami direka bentuk untuk memberi pengguna maklumat untuk menimbang kos yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan kewangan serta melindungi pengguna daripada amalan yang memudaratkan atau berbentuk penipuan. Untuk tujuan dasar ini, kami menganggap produk dan perkhidmatan kewangan sebagai yang berkaitan dengan pengurusan dan pelaburan wang serta mata wang kripto, termasuk nasihat diperibadikan.

Apabila mempromosikan produk dan perkhidmatan kewangan, anda hendaklah mematuhi kawal selia negeri dan setempat untuk mana-mana wilayah atau negara yang disasarkan oleh iklan anda — sebagai contoh, sertakan pendedahan khusus yang dikehendaki oleh undang-undang tempatan. Rujuk senarai tidak lengkap keperluan khusus negara kami untuk mendapatkan maklumat lanjut, tetapi harap maklum bahawa pengiklan perlu juga membuat penyelidikan sendiri tentang peraturan tempatan bagi mana-mana lokasi yang menjadi sasaran iklan mereka.

Tanda dagangan

Terdapat beberapa faktor yang menentukan masa tanda dagangan boleh digunakan dalam iklan Google Ads. Selain faktor yang diterangkan dalam Pusat Dasar kami, dasar ini hanya digunakan apabila pemilik tanda dagangan telah menghantar aduan yang sah kepada Google.

Keperluan undang-undang

Anda sentiasa bertanggungjawab untuk memastikan bahawa anda mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang bersesuaian, di samping dasar pengiklanan Google, bagi semua lokasi yang iklan anda dipaparkan.

Perniagaan terhad lain

Kami mengehadkan jenis perniagaan tertentu daripada mengiklan dengan kami untuk mengelakkan pengguna daripada dieksploitasi, walaupun perniagaan individu tertentu kelihatan mematuhi dasar kami yang lain. Berdasarkan semakan berterusan kami dan maklum balas daripada pengguna, pengawal selia serta pihak berkuasa perlindungan pengguna, kadangkala kami mengenal pasti produk atau perkhidmatan yang terdedah kepada penyalahgunaan. Jika kami berpendapat jenis perniagaan tertentu menimbulkan risiko yang tidak wajar terhadap keselamatan pengguna atau pengalaman pengguna, maka kami mungkin mengehadkan atau menghentikan iklan yang berkaitan daripada disiarkan.

Format dan ciri iklan yang dihadkan

Terdapat berbilang faktor yang menentukan akses kepada format dan ciri iklan lanjutan pada iklan Google. Format iklan tertentu tidak tersedia untuk semua pengiklan sehingga mereka memenuhi keperluan khusus kami atau menyelesaikan proses persijilan.

Keperluan untuk kandungan dihasilkan untuk kanak-kanak

Pengiklan tidak boleh menyiarkan iklan diperibadikan pada kandungan yang ditetapkan sebagai dihasilkan untuk kanak-kanak. Lihat di sini untuk kategori yang dihadkan untuk pengiklanan bagi kandungan yang dihasilkan untuk kanak-kanak.

Keperluan editorial & teknikal

Kami mahu menerbitkan iklan yang menarik untuk pengguna tanpa menjengkelkan atau menyukarkan pengguna untuk berinteraksi, oleh itu kami telah membangunkan keperluan editorial bagi membantu memastikan iklan anda menarik untuk pengguna. Kami juga telah menetapkan keperluan teknikal untuk membantu pengguna dan pengiklan memanfaatkan sepenuhnya pelbagai format iklan yang kami tawarkan.

Editorial

Untuk menyediakan pengalaman pengguna yang berkualiti, Google mensyaratkan semua iklan, sambungan dan destinasi memenuhi standard editorial yang tinggi. Kami hanya membenarkan iklan yang jelas, kelihatan profesional dan yang membawa pengguna kepada kandungan yang berkaitan, berguna dan mudah untuk pengguna berinteraksi.

Contoh promosi yang tidak memenuhi keperluan editorial dan profesional ini:

  • iklan terlalu umum yang mengandungi frasa kabur seperti "Beli produk di sini"
  • penggunaan kata-kata, nombor, huruf, tanda baca atau simbol berbentuk gimik seperti PERCUMA, p-e-r-c-u-m-a dan P3₹€UM#!!

Keperluan destinasi

Kami mahu pengguna mempunyai pengalaman yang baik apabila mereka mengklik pada iklan, jadi destinasi iklan mesti menawarkan nilai yang unik kepada pengguna dan berfungsi, berguna serta mudah dinavigasi.

Contoh promosi yang tidak memenuhi keperluan destinasi:

  • URL paparan yang tidak menunjukkan URL halaman pendaratan dengan tepat, seperti "google.com" membawa pengguna ke "gmail.com"
  • laman atau apl yang sedang dalam pembinaan, merupakan domain peletakan atau yang tidak berfungsi
  • laman yang tidak dapat dilihat dalam penyemak imbas yang biasa digunakan
  • laman yang telah melumpuhkan butang kembali penyemak imbas

Keperluan teknikal

Untuk membantu kami memastikan iklan jelas dan berfungsi, pengiklan mesti memenuhi keperluan teknikal kami.

Keperluan format iklan

Dalam usaha membantu anda menyediakan pengalaman pengguna yang berkualiti dan menyampaikan iklan yang menarik dan kelihatan profesional, kami hanya membenarkan promosi yang mematuhi keperluan khusus untuk setiap iklan. Semak keperluan khusus format bagi semua format iklan yang anda gunakan.

Nota: Kami tidak membenarkan iklan "Tidak selamat untuk keluarga" dalam iklan imej, iklan video dan format iklan bukan teks yang lain. Baca lebih lanjut tentang Dasar kandungan dewasa kami.

Contoh keperluan format iklan: had aksara untuk tajuk atau kandungan iklan, keperluan saiz imej, had saiz fail, had panjang video, nisbah aspek



 

Perihal dasar kami

Google Ads membolehkan semua bentuk perniagaan, dari seluruh dunia, mempromosikan pelbagai produk, perkhidmatan, aplikasi dan laman web di Google dan merentas rangkaian kami. Kami mahu membantu anda menjangkau bakal pelanggan dan khalayak serta yang sedia ada. Walau bagaimanapun, untuk membantu dalam menghasilkan pengalaman pengguna yang selamat dan positif, kami mendengar maklum balas dan kebimbangan mereka mengenai jenis iklan yang mereka lihat. Kami juga kerap menyemak perubahan dalam trend serta amalan dalam talian, norma industri dan peraturan. Akhir sekali, dalam usaha menggubal dasar kami, kami juga memikirkan mengenai nilai-nilai dan budaya kami sebagai sebuah syarikat serta pertimbangan operasi, teknikal dan perniagaan. Hasilnya, kami telah membuat satu set dasar yang digunakan pada semua promosi di Rangkaian Google.

Google menghendaki pengiklan mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang bersesuaian dan dasar Google yang diterangkan di atas. Anda perlu membiasakan diri dan mengikuti perkembangan terkini keperluan ini untuk tempat perniagaan anda beroperasi, serta mana-mana tempat lain iklan anda dipaparkan. Apabila kami menemui kandungan yang melanggar keperluan ini, kami mungkin menyekatnya daripada dipaparkan dan dalam kes pelanggaran yang berulang atau ketara, kami mungkin menghalang anda daripada mengiklan dengan kami.

 

Perlukan bantuan?

Jika anda mempunyai soalan tentang dasar kami, beritahu kami: Hubungi Sokongan Google Ads

Beritahu kami pendapat anda

Nilaikan sejauh manakah halaman ini membantu dan kongsi maklum balas anda dengan kami:
Adakah perkara ini membantu?
Bagaimanakah dapat kami meningkatkannya?
Cari
Kosongkan carian
Tutup carian
Apl Google
Menu utama
Cari di Pusat Bantuan
true
73067
false