Mendaftar dalam perintis pengebilan pilihan pengguna

Mulai 13 Mac 2024, pembangun yang menawarkan pengebilan alternatif sebagai sebahagian daripada perintis pengebilan pilihan pengguna mestilah menggunakan API pengebilan alternatif. Lihat butiran di bawah dan lawati panduan penyepaduan API pengebilan alternatif kami untuk bermula.

Perintis ini direka bentuk untuk menguji penawaran pilihan pengebilan alternatif bersebelahan dengan sistem pengebilan Google Play dan untuk membantu kami menerokai penawaran pilihan ini kepada pengguna. Kami mahu memperoleh maklum balas dalam pasaran yang berbeza dan memastikan kami boleh mengekalkan pengalaman pengguna yang positif. Yuran perkhidmatan, yang menyokong pelaburan kami dalam Play dan Android, akan terus dikenakan dan pembangun mestilah membayar kepada Google yuran perkhidmatan yang dapat dikenakan.

Pembangun yang memenuhi kelayakan dan keperluan di bawah boleh menyertai perintis.

Kelayakan

Untuk mendapatkan kelayakan bagi perintis ini:

  • Apl anda mestilah:
    • Apl atau permainan merentas mana-mana faktor bentuk yang menawarkan pengebilan pilihan pengguna kepada pengguna di EEA; atau
    • Apl mudah alih atau tablet bukan permainan dengan pengguna di semua lokasi lain yang disenaraikan di atas.
  • Pembangun mestilah mempunyai perniagaan berdaftar.

Keperluan

Pembangun yang menyertai perintis ini mestilah mematuhi keperluan yang berikut:

  1. Hanya menawarkan pengebilan pilihan pengguna kepada pengguna yang layak dalam pasaran perintis yang telah diumumkan, iaitu:
    • Negara Kawasan Ekonomi Eropah (EEA)
    • Australia
    • Brazil
    • Indonesia
    • Jepun
    • Afrika Selatan
    • Amerika Syarikat
  2. Menawarkan sistem pengebilan alternatif sahaja dalam apl.
  3. Mematuhi Standard Keselamatan Data Industri Kad Pembayaran (PCI-DSS) (jika mengendali data kad kredit dan debit).
  4. Menyediakan sokongan pelanggan untuk pengguna yang menggunakan sistem pengebilan alternatif (termasuk sebarang produk yang dijual menggunakan sistem pengebilan alternatif) dan sistem pengebilan alternatif tersebut mestilah menyediakan proses untuk mempertikaikan transaksi yang tidak diluluskan.
  5. Membayar kepada Google yuran perkhidmatan yang dapat dikenakan. Apabila pengguna membuat pembelian melalui sistem pengebilan alternatif, yuran perkhidmatan standard yang dibayar oleh pembangun akan dikurangkan sebanyak 4%.
  6. Menyepadukan API pengebilan alternatif, yang menyelaraskan pelaksanaan keperluan dan pelaporan pengalaman pengguna. Pembangun yang belum lagi bersedia untuk menyepadukan API pengebilan alternatif mempunyai pilihan untuk melaksanakan skrin pilihan pengguna dan melaporkan transaksi secara manual hingga 13 Mac 2024.
  7. Sebelum membuat penyepaduan dengan API pengebilan alternatif, pembangun dikehendaki untuk mengikut garis panduan pengalaman pengguna sementara kami untuk memastikan pengalaman pengguna yang konsisten dan membantu pengguna membuat keputusan termaklum.
  8. Memaklumi kami dahulu tentang perubahan yang dirancang pada pilihan pendaftaran apl anda, seperti melumpuhkan atau mendayakan pengebilan pilihan pengguna pada apl tertentu atau dalam pasaran yang layak. Untuk mendapatkan butiran lanjut tentang cara menyerahkan perubahan, lawati Soalan Lazim kami.

Harap maklum bahawa kelayakan dan keperluan tertakluk pada perubahan dan kami menjangkakan bahawa butiran perintis akan terus berkembang apabila kami mengetahui lebih lanjut dan menerima maklum balas tambahan.

Menyepadukan dengan API pengebilan alternatif

Jika anda mahu menawarkan pengebilan pilihan pengguna dan akan menggunakan API pengebilan alternatif dari tarikh tawaran anda, anda mestilah melengkapkan langkah yang berikut:

  1. Semak keperluan pada halaman ini untuk menentukan jika apl anda memenuhi kriteria kelayakan.
  2. Lengkapkan borang pengisytiharan pengebilan, terima Syarat Perkhidmatan dan lengkapkan sebarang langkah suai tugas yang diperlukan untuk mendaftar dalam program tersebut melalui pasukan sokongan Google (contohnya, sediakan profil pembayaran mengikut keperluan).
  3. Lengkapkan penyepaduan API pengebilan alternatif seperti yang diterangkan dalam panduan penyepaduan API ini.
  4. Urus tetapan pengebilan alternatif Play Console anda untuk mengikut serta/menarik diri bagi setiap apl anda, memuat naik logo kaedah pembayaran dan URL pengurusan langganan.
  5. Laporkan kepada Google Play semua transaksi yang diizinkan daripada pengguna dalam pasaran perintis dalam masa 24 jam selepas menggunakan API pengebilan alternatif.
  6. Bagi sebarang langganan aktif yang bermula semasa anda menawarkan pengebilan alternatif tanpa automasi, anda dikehendaki untuk menghijrahkan langganan ini melalui ExternalTransactions API sebelum melaporkan transaksi berulang melalui API tersebut. Penghijrahan satu kali ini mestilah dibuat sebelum 13 Mac 2024, tarikh akhir penghijrahan API pengebilan alternatif. Untuk mendapatkan butiran lanjut, lawati Soalan Lazim kami.

Jika anda telah pun menyertai program ini dan sedang berhijrah kepada API pengebilan alternatif, anda boleh melangkau langkah 1 dan 2 di atas. Setelah anda melengkapkan langkah yang digariskan di atas dan mula melaporkan transaksi menggunakan API ini, anda tidak perlu menghantar transaksi secara manual lagi.

Menyepadukan tanpa automasi

Jika anda mahu menawarkan pengebilan pilihan pengguna tetapi belum bersedia untuk membuat penyepaduan dengan API pengebilan alternatif, anda mestilah melengkapkan langkah yang berikut untuk pendaftaran manual:

  1. Semak keperluan pada halaman ini untuk menentukan jika apl anda memenuhi kriteria kelayakan.
  2. Lengkapkan borang pengisytiharan pengebilan, terima Syarat Perkhidmatan dan lengkapkan sebarang langkah suai tugas yang diperlukan untuk mendaftar dalam program tersebut melalui pasukan sokongan Google (contohnya, sediakan profil pembayaran mengikut keperluan).
  3. Kenal pasti apl dan pasaran layak yang akan menjadi tempat anda menawarkan pengebilan pilihan pengguna menggunakan borang pendaftaran yang akan dihantar kepada anda melalui e-mel selepas anda melengkapkan borang pengisytiharan pengebilan.
  4. Ikut keperluan seperti yang diterangkan pada halaman ini.
  5. Ambil kira dan laporkan jumlah semua transaksi berbayar daripada sistem pengebilan alternatif kepada Google Play untuk invois. Arahan untuk pelaporan bulanan akan diberikan kepada pembangun yang telah melengkapkan borang pengisytiharan dan melengkapkan proses suai tugas untuk perintis tersebut.
  6. Sebelum tarikh akhir penghijrahan, buat penyepaduan dengan API pengebilan alternatif, hijrahkan sebarang langganan aktif yang bermula semasa anda menawarkan pengebilan alternatif tanpa automasi, dan kemas kinikan tetapan pengebilan alternatif anda dalam Play Console. Setelah anda menghijrahkan langganan aktif dan mula melaporkan transaksi menggunakan API ini, anda tidak perlu menghantar transaksi secara manual lagi. Penghijrahan satu kali ini mestilah dibuat sebelum 13 Mac 2024, tarikh akhir penghijrahan API pengebilan alternatif. Untuk mendapatkan butiran lanjut, lawati Soalan Lazim kami.

Jika anda mempunyai apa-apa soalan tambahan, anda boleh menghubungi pasukan sokongan kami di sini.

Buka borang pengisytiharan

Soalan lazim

Mengapakah sistem pengebilan Google Play diperlukan bersama dengan sistem pengebilan alternatif untuk perintis ini?

Google Play percaya bahawa pengguna patut mempunyai pilihan untuk menggunakan sistem pengebilan Play apabila mereka membuat pembelian barangan digital daripada apl yang dipasang daripada Google Play. Kami membina sistem pengebilan Google Play pada piawaian tertinggi untuk privasi dan keselamatan supaya pengguna berasa yakin ketika membuat pembelian dalam apl. Sistem pengebilan alternatif mungkin juga tidak menawarkan perlindungan atau pilihan pembayaran dan ciri yang sama seperti sistem pengebilan Google Play — seperti kawalan ibu bapa, kaedah pembayaran keluarga, pengurusan langganan, kad hadiah Google Play dan Play Points.

Mengapakah anda masih memerlukan yuran perkhidmatan?

Yuran perkhidmatan Google Play bukan hanya sekadar yuran untuk pemprosesan bayaran. Yuran ini juga mencerminkan nilai yang disediakan oleh Android dan Play, dan menyokong pelaburan berterusan kami pada seluruh Android dan Google Play, yang membolehkan kewujudan ciri pengguna dan pembangun yang diharapkan oleh orang ramai. Lawati artikel ini untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang yuran perkhidmatan.

Mengapakah pembangun permainan hanya layak di EEA?

Mulai 6 Mac 2024, apl permainan dan bukan permainan layak untuk pengebilan pilihan pengguna apabila ditawarkan kepada pengguna di EEA. Dalam semua pasaran lain yang layak, hanya apl bukan permainan yang layak untuk pengebilan pilihan pengguna. Kami menjangkakan bahawa butiran perintis akan terus berkembang apabila kami mengetahui lebih lanjut dan menerima maklum balas tambahan.

Negara manakah yang membentuk Kawasan Ekonomi Eropah (EEA)?

Buat masa ini, EEA dibentuk oleh: Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Republik Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Sepanyol dan Sweden.

Apakah jenis produk yang boleh saya tawarkan pengebilan pilihan pengguna?

Pengebilan pilihan pengguna boleh digunakan untuk kandungan dan perkhidmatan digital seperti pembelian dan langganan dalam apl, dalam mana-mana apl atau permainan merentas semua faktor bentuk apabila ditawarkan kepada pengguna di EEA atau apl mudah alih dan tablet bukan permainan apabila ditawarkan kepada pengguna dalam semua pasaran lain yang layak.

Bolehkah saya menawarkan sistem pengebilan Google Play dalam sesetengah pasaran sambil menawarkan pengebilan pilihan pengguna dalam pasaran lain?

Ya. Semasa proses pendaftaran, anda akan perlu menentukan negara perintis yang telah diumumkan yang akan anda tawarkan pengebilan pilihan pengguna.

Bolehkah saya melibatkan diri dalam perintis pengebilan pilihan pengguna dan program pengebilan alternatif tanpa pilihan pengguna yang telah diumumkan yang mematuhi Akta Pasaran Digital (DMA) yang telah diluluskan baru-baru ini untuk pengguna yang berada di EEA?

Ya. Anda boleh menyertai kedua-duanya, namun anda akan perlu mengenal pasti sama ada anda menawarkan pengebilan pilihan pengguna atau pengebilan alternatif tanpa pilihan pengguna semasa proses pendaftaran. Untuk apl tertentu, anda hanya boleh memilih satu program pada satu-satu masa bagi setiap negara.

Saya telah mendaftar dalam program EEA untuk pengebilan alternatif tanpa pilihan pengguna. Adakah saya perlu mendaftar semula untuk menyertai perintis pengebilan pilihan pengguna?

Jika anda mendaftar untuk program EEA sebelum 1 September 2022, dan mahu menawarkan pilihan sistem pengebilan alternatif kepada pengguna bersama dengan sistem pengebilan Google Play, anda akan perlu menyerahkan semula borang pengisytiharan bagi mendaftar dalam perintis pengebilan pilihan pengguna. Anda tidak perlu menyerahkan semula borang untuk terus menawarkan pengebilan alternatif tanpa pilihan pengguna.

Jika anda mendaftar untuk program EEA selepas 1 September 2022, anda tidak perlu menyerahkan semula borang pengisytiharan untuk menyertai perintis pengebilan pilihan pengguna. Walau bagaimanapun, anda perlu memberitahu kami dengan menyerahkan borang pendaftaran pakej apl yang telah dikemaskinikan sama ada anda menawarkan pengebilan pilihan pengguna kepada setiap negara di EEA atau tidak.

Bagaimanakah saya boleh menyerahkan transaksi yang dibuat melalui sistem pengebilan alternatif?

Mulai 14 November 2023, transaksi yang dibuat melalui sistem pengebilan alternatif boleh dilaporkan menggunakan API pengebilan alternatif dan mestilah dilaporkan dalam masa 24 jam selepas pembayaran diizinkan. API ini menyelaraskan pelaporan untuk pembangun dan membolehkan transaksi melalui sistem pengebilan alternatif dipaparkan dalam Carta Teratas Google Play. Sila lihat Soalan Lazim di bawah untuk mendapatkan butiran lanjut tentang cara menghijrahkan langganan aktif yang bermula semasa anda menawarkan pengebilan alternatif tanpa automasi.

Anda boleh meneruskan tindakan untuk melaporkan sendiri transaksi secara manual hingga 13 Mac 2024 jika anda masih belum membuat penyepaduan dengan API pengebilan alternatif. Jika pelaporan dibuat secara manual, anda dikehendaki melaporkan sendiri jumlah transaksi yang dibayar sebulan sekali pada hari perniagaan yang kelima pada bulan tersebut. Contohnya, laporan untuk transaksi yang dibuat pada bulan Oktober 2023 perlu dilaporkan selewat-lewatnya pada 7 November 2023. Setelah anda melengkapkan borang pengisytiharan, kami akan menyemak maklumat anda dan menghantar arahan tentang cara melaporkan transaksi berbayar anda dan pembayaran yang perlu anda kirimkan untuk yuran perkhidmatan dan sebarang cukai yang bersesuaian.

Saya telah menyerahkan borang pendaftaran pakej apl untuk mengenal pasti pasaran yang akan menggunakan pengebilan pilihan pengguna bagi apl saya. Bagaimanakah saya boleh memberitahu Google tentang sebarang perubahan pada pilihan pendaftaran pakej apl saya?

Jika anda menawarkan pengebilan alternatif tanpa automasi, anda dikehendaki untuk menyerahkan borang pendaftaran pakej apl yang telah dikemaskinikan jika anda mengubah penawaran pengebilan alternatif dalam pasaran untuk pakej apl tertentu. Harap maklum bahawa sebarang kemaskinian hanya akan berkuat kuasa pada hari pertama bulan berikutnya dalam Waktu Universal Selaras (UTC), termasuk perubahan pada yuran perkhidmatan yang berkenaan.

Jika anda menawarkan pengebilan alternatif menggunakan API pengebilan alternatif, anda boleh mengubah tawaran pengebilan alternatif dalam pasaran untuk pakej apl tertentu melalui tetapan pengebilan alternatif Play Console. Sebarang perubahan akan berkuat kuasa dengan serta-merta, termasuk perubahan pada yuran perkhidmatan yang berkenaan.

Adakah program ini membolehkan pautan untuk pembelian kandungan digital untuk pengguna?

Ya, program ini membolehkan pembangun menggunakan pembayaran berasaskan web sebagai kaedah pembayaran alternatif dalam paparan web terbenam dalam apl mereka. Seperti kaedah pembayaran alternatif lain, perkara ini akan tertakluk pada keperluan untuk program yang disenaraikan pada halaman ini, termasuk semua keperluan kepercayaan dan keselamatan pengguna serta yuran perkhidmatan.

Adakah saya perlu menawarkan pengebilan pilihan pengguna?

Tidak, program ini merupakan program ikut serta. Jika anda tidak mahu menawarkan pengebilan pilihan pengguna, tiada tindakan diperlukan.

Adakah pengebilan alternatif masih tersedia di Korea Selatan?

Ya, walaupun Korea Selatan bukan sebahagian daripada perintis pengebilan pilihan pengguna ini, kami terus memberikan keupayaan untuk menawarkan sistem pengebilan alternatif bersama dengan sistem pengebilan Google Play kepada semua pembangun untuk pengguna peranti mudah alih dan tablet mereka di Korea Selatan. Jika anda merupakan pembangun yang mempunyai pengguna dari Korea Selatan, anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang cara pelaksanaan sistem pengebilan alternatif di Korea Selatan dalam artikel Pusat Bantuan ini. Jika anda juga mahu menyertai perintis pengebilan pilihan pengguna ini untuk pengguna anda di negara perintis, anda perlu mendaftar dalam perintis ini dengan melengkapkan borang pengisytiharan pengebilan.

Jika saya merancang untuk menawarkan pengebilan pilihan pengguna atau telah menawarkan sistem tersebut, bilakah saya perlu memenuhi keperluan pengalaman pengguna yang digariskan pada halaman ini?

Jika anda menawarkan pengebilan pilihan pengguna dengan penyepaduan API pengebilan alternatif, keperluan pengalaman pengguna akan dipenuhi melalui penyepaduan dengan API pihak pelanggan dan penggunaan API tersebut. Mulai 14 Mac 2023, semua pembangun yang mengambil bahagian dikehendaki untuk membuat penyepaduan dengan API pengebilan alternatif untuk memaparkan skrin pilihan pengguna dan melaporkan transaksi.

Jika anda belum lagi bersedia untuk menyepadukan API pengebilan alternatif, anda dikehendaki untuk melaksanakan garis panduan pilihan pengguna sementara secara manual.

Adakah pengebilan alternatif masih tersedia di India?

Ya. Sebagai tindak balas kepada perkembangan pengawalseliaan terbaharu di India, kini kami menawarkan keupayaan kepada semua pembangun untuk menawarkan sistem pengebilan alternatif selain sistem pengebilan Google Play untuk pengguna India yang membuat pembelian dalam apl menggunakan apl edaran Play pada telefon mudah alih dan tablet. Memandangkan program ini berasingan daripada perintis pengebilan pilihan pengguna kami, sila rujuk artikel Pusat Bantuan ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang keperluan untuk menawarkan sistem pengebilan alternatif kepada pengguna di India dan mendaftar.

Apl saya didaftarkan dalam perintis pengebilan pilihan pengguna untuk pengguna India. Adakah saya perlu mendaftar semula untuk menyertai program bagi pengebilan alternatif India?

Jika apl saya didaftarkan dalam perintis pengebilan pilihan pengguna untuk pengguna India sebelum 22 Februari 2023, anda tidak perlu mendaftar semula melalui program bagi pengebilan alternatif India. Walau bagaimanapun, anda dikehendaki untuk mengikut arahan yang digariskan dalam Soalan Lazim ini jika anda menukar penawaran pengebilan alternatif dalam negara untuk pakej apl tertentu.

Saya telah mendaftar dalam perintis untuk apl bukan permainan saya, adakah saya perlu mendaftar semula untuk membolehkan apl permainan saya mengambil bahagian dalam perintis pengebilan pilihan pengguna di EEA?

Tidak. Jika anda aktif dalam program perintis pada masa ini, anda boleh mendaftarkan apl permainan anda dalam program perintis melalui Play Console dan memulakan penawaran pengebilan pilihan pengguna kepada pengguna di EEA. Ikut arahan pendaftaran apl dalam artikel Pusat Bantuan ini.

Bagaimanakah boleh saya membuat penyepaduan dengan API pengebilan alternatif bagi faktor bentuk selain mudah alih dan tablet apabila menawarkan pengebilan pilihan pengguna kepada pengguna di EEA?

API pengebilan alternatif boleh dilaksanakan melalui cara yang sama merentas semua faktor bentuk yang layak. Anda boleh memanfaatkan panduan penyepaduan yang sama untuk garis panduan yang terperinci dan sumber tentang cara bermula.

Jika anda merancang untuk menawarkan pengebilan pilihan pengguna pada Android Auto, sila hubungi kami untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara bermula.

Apakah manfaat yang diperoleh dengan API pengebilan alternatif? Bolehkah saya membuat penyepaduan dengan API pengebilan alternatif untuk memaparkan skrin pilihan pengguna sebelum menggunakan API untuk melaporkan transaksi?

Untuk menyelaraskan pengalaman pembangun, API pengebilan alternatif direka bentuk untuk disepadukan dan digunakan bersama-sama. API pengebilan alternatif memberikan manfaat yang berikut:

  • Skrin pengebilan alternatif yang dipaparkan oleh Google Play. Hal ini bermakna anda tidak perlu membina dan menyelenggara sendiri skrin maklumat dan/atau pilihan.
  • Pelaporan transaksi yang dipermudah. Hal ini mengalih keluar titik sentuh manual dan mengurangkan ralat pengagregatan atau penyelarasan.
  • Transaksi sistem pengebilan alternatif yang dilaporkan melalui API akan ditunjukkan dalam Carta Teratas Google Play.

Selain itu, kami telah membuat peningkatan yang berikut untuk memudahkan anda menggunakan pengebilan alternatif:

  • Memperkemas pengalaman pilihan pengguna.
  • Pengurusan layan diri bagi tetapan pengebilan alternatif melalui Play Console, seperti mendayakan atau melumpuhkan pengebilan pilihan pengguna untuk setiap apl serta pasaran yang layak, pengurusan logo kaedah pembayaran dan URL pengurusan langganan.
  • Laporan yang boleh dieksport tentang transaksi sistem pengebilan alternatif yang dilaporkan melalui API yang mengandungi maklumat tambahan seperti kadar pertukaran yang digunakan, ID pakej apl yang berkaitan dan kadar yuran perkhidmatan.
Di manakah saya boleh mengetahui lebih lanjut tentang penyepaduan dengan API pengebilan alternatif?

Anda boleh melanjutkan penyepaduan sedia ada anda dengan sistem pengebilan Google Play dengan mudah untuk memanfaatkan API pengebilan alternatif. API pengebilan alternatif dibina berdasarkan corak dan prinsip reka bentuk yang sama seperti Pustaka Play Billing dan Play Developer API kami. Hal ini bermakna API ini serasi dengan reka bentuk sedia ada anda dan biasa dijalankan oleh pasukan anda.

Dalam panduan penyepaduan kami, kami menyediakan garis panduan yang terperinci dan sumber tentang cara memulakan dan menangani pelbagai kes penggunaan pengebilan alternatif termasuk pembelian satu kali dan berulang, serta memberi anda contoh coretan kod untuk memudahkan pelaksanaan. Kami mengalu-alukan maklum balas pembangun tentang API ini dan mana-mana sumber tambahan yang dapat membantu. Jika anda mempunyai apa-apa pertanyaan atau maklum balas tentang API pengebilan alternatif, sila hubungi kami di sini.

Saya sudah pun menyertai pengebilan pilihan pengguna, apakah yang perlu saya lakukan untuk beralih kepada penggunaan API pengebilan alternatif?

Sebelum tarikh akhir penghijrahan, 13 Mac 2024, lengkapkan langkah yang digariskan dalam Menyepadukan dengan API Pengebilan Alternatif. Sebaik sahaja anda menghijrahkan sebarang langganan aktif daripada tempoh manual dan mula melaporkan transaksi menggunakan API, anda tidak perlu menghantar transaksi secara manual lagi.

Bagaimanakah cara melaporkan transaksi berulang melalui API pengebilan alternatif untuk langganan aktif yang bermula semasa saya menawarkan pengebilan alternatif tanpa automasi?

Bagi sebarang langganan aktif yang bermula semasa anda menawarkan pengebilan alternatif tanpa pelaporan automatik, anda dikehendaki untuk menghijrahkan langganan ini melalui ExternalTransactions API sebelum melaporkan transaksi berulang melalui API tersebut. Penghijrahan satu kali ini mestilah dibuat sebelum 13 Mac 2024, tarikh akhir penghijrahan API pengebilan alternatif. Setelah penghijrahan dibuat, anda hanya perlu melaporkan transaksi berulang melalui API dan tidak perlu melaporkan transaksi melalui pelaporan manual lagi.

Jika anda belum menghijrahkan langganan aktif, anda masih dikehendaki untuk terus melaporkan transaksi berulang melalui arahan pelaporan manual yang sedia ada.

Adakah perkara ini membantu?

Bagaimanakah dapat kami meningkatkannya?

Perlukan bantuan lanjut?

Cuba langkah seterusnya ini:

true
Cari
Kosongkan carian
Tutup carian
Menu utama
7488366971428284310
true
Cari di Pusat Bantuan
true
true
true
true
true
92637
false
false