Cara pelepasan dianggarkan

Google Flights memaparkan anggaran pelepasan rumah hijau kitar hayat untuk jumlah penumpang yang dipilih bersebelahan setiap penerbangan. Penerbangan dilabelkan sebagai pelepasan yang lebih tinggi, biasa, lebih rendah atau tidak diketahui.

Daripada manakah Google mendapatkan maklumat ini?

Google mengira anggaran pelepasan menggunakan versi terbaharu Model Impak Perjalanan (TIM), model yang ditadbir oleh Google dan diselia oleh Majlis Penasihat pakar terkemuka dalam kelestarian dan penerbangan. TIM merupakan model anggaran pelepasan yang telus dan ditingkatkan secara berterusan yang dibina daripada set data luaran umum dan boleh dilesenkan serta berdasarkan sains terkini dan standard yang diiktiraf secara antarabangsa. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat:

Pelepasan kitar hayat

Model Impak Perjalanan mengira kitar hayat penuh pelepasan bahan api jet dengan menganggarkan pelepasan awal sehingga akhir. Pelepasan awal sehingga akhir merupakan jumlah pelepasan yang dihasilkan dengan membuat dan mengangkut bahan api jet serta pelepasan karbon (CO2) daripada pembakaran bahan api semasa berlepas, menjajap dan mendarat.

Selain CO2, TIM menukarkan pelepasan bukan CO2 kepada "setara CO2" (CO2e) berdasarkan potensi pemanasan global.

Pengeluaran karbon biasa

Pelepasan biasa merupakan pelepasan median untuk laluan yang dicari. Median dikira sebagai nilai tengah antara semua pelepasan yang mungkin bagi setiap laluan, serta mempertimbangkan penerbangan sepanjang satu tahun akan datang.

Anggaran pelepasan untuk setiap penerbangan dibandingkan dengan median laluan. Beginilah cara Google mengenal pasti penerbangan dengan pelepasan yang lebih tinggi, biasa atau lebih rendah.

Untuk beberapa carian, anda mungkin tidak menemukan penerbangan dengan "pelepasan yang lebih rendah". Perkara ini berlaku apabila penerbangan pada tarikh yang dicari tidak mengurangkan pencemaran berbanding dengan median laluan. Untuk mencari penerbangan kurang pelepasan, cuba tarikh yang berbeza.

Pengeluaran karbon tidak diketahui

Untuk sesetengah penerbangan, kami tiada data pelepasan yang tersedia dan kami juga tidak boleh membuat anggaran yang terdekat. Perkara ini mungkin berlaku untuk jenis pesawat yang sangat khusus. Dalam keadaan ini, kami tidak akan memaparkan anggaran pelepasan dan penerbangan akan dilabelkan sebagai "pelepasan tidak diketahui".

Faktor yang mempengaruhi pelepasan

Pelepasan sebenar mungkin berbeza dan bergantung pada faktor seperti:

  • Model dan konfigurasi pesawat
  • Kelajuan dan altitud pesawat
  • Jarak di antara tempat berlepas dengan destinasi
  • Bilangan penumpang

Untuk memahami anggaran pelepasan yang kami paparkan, anda perlu mengetahui:

  • Penerbangan terus tidak semestinya mengurangkan pencemaran, terutamanya bagi laluan jauh. Penerbangan berbilang persinggahan bagi pesawat yang cekap bahan api mungkin kurang melepaskan karbon berbanding dengan pilihan penerbangan terus.
  • Pelepasan karbon bagi pesawat dengan kapasiti dan jarak yang serupa mungkin sangat berbeza. Faktor yang menyebabkan perbezaan ini termasuk jenis pesawat atau susun atur tempat duduk yang digunakan oleh syarikat penerbangan.
  • Bagi penerbangan ke, dari dan dalam AS, model akan menganggarkan faktor beban penumpang menggunakan data sejarah daripada Jabatan Pengangkutan AS. Bagi penerbangan di luar AS, kami menggunakan data faktor beban sejarah yang disediakan oleh ch-aviation apabila tersedia. Untuk semua penerbangan lain, anggaran pelepasan mempertimbangkan faktor beban purata industri 2019 (sebelum pandemik Koronavirus (COVID-19)). Butiran lanjut tentang sumber data yang kami gunakan dan cara faktor beban dikira boleh didapati dalam dokumentasi GitHub kami.
  • Anggaran pelepasan kami belum mempertimbangkan faktor seperti arah penerbangan, penggunaan bahan api penerbangan yang lestari atau berat kargo kapal terbang.

Kesan pemanasan lain akibat penerbangan

Selain melepaskan CO2 ke atmosfera, penerbangan boleh menyebabkan kesan pemanasan yang lain seperti jejak wap. 

Di wilayah berkelembapan tinggi, wap air dalam udara memeluwap di sekitar zarah jelaga daripada ekzos pesawat dan membeku. Keadaan ini membentuk jaluran pemeluwapan seperti awan atau ringkasnya dipanggil jejak wap. Kebanyakan jejak wap hilang dengan cepat tetapi untuk sebahagian kecil penerbangan, keadaan atmosfera menghasilkan jejak wap yang kekal dan tersebar, lantas memerangkap haba dalam atmosfera.

Apabila mengambil kira jejak wap, kesan pemanasan penerbangan mungkin mencapai hingga 60% lebih tinggi daripada anggaran berdasarkan pembakaran bahan api semata-mata [Lee, 2021. CO2e/GWP100]. Walaupun kita mengetahui bahawa hanya kira-kira 10% penerbangan yang menyebabkan sebahagian besar jejak wap yang berterusan, meramal pembentukan jejak wap dan mengatributkan kesan setiap penerbangan adalah sukar — seperti meramal golakan udara berminggu-minggu atau berbulan-bulan lebih awal. Selain itu, tiada kesepakatan saintifik tentang cara kesan itu harus dikira untuk setiap penerbangan. Atas sebab ini, pada masa ini kesan jejak wap tidak dimasukkan dalam model yang digunakan untuk menganggarkan pelepasan.

Google sedang bekerjasama dengan ahli sains, ahli akademik dan pakar industri untuk membuat ramalan secara andal tentang kesan jejak wap setiap penerbangan. Akhirnya, kami merancang untuk menyertakan ramalan ini dalam TIM.

Anggaran pengeluaran karbon kereta api

Untuk mengira pelepasan karbon daripada kereta api, Google menggunakan kaedah yang mempertimbangkan jarak perjalanan dalam kilometer dan bilangan penumpang dalam carian anda. Menurut IEA, kereta api melepaskan 19 gram pelepasan karbon kitaran hayat CO2e bagi setiap kilometer penumpang secara purata. Pelepasan karbon yang sebenar bergantung pada kereta api dan operator. Data IEA dikemaskinikan setiap tahun dan Google berusaha untuk memperoleh maklumat yang tepat daripada operator kereta api.

Cari
Kosongkan carian
Tutup carian
Menu utama
11133040933787818832
true
Cari di Pusat Bantuan
true
true
true
true
true
254
false
false