Fahami laporan prapelancaran anda

Artikel ini membantu anda untuk memahami hasil laporan prapelancaran anda dengan memberikan ikhtisar ralat, amaran atau isu yang mungkin didedahkan oleh laporan anda. Jika anda ingin mengetahui cara menyediakan dan menjalankan laporan prapelancaran, pergi ke Gunakan laporan prapelancaran untuk mengenal pasti isu.

Apabila laporan prapelancaran anda tersedia, anda boleh melihat ringkasan ujian yang merangkumi bilangan ralat, amaran dan masalah kecil yang dijumpai semasa ujian dan dikategorikan berdasarkan jenis isu. Anda juga akan melihat cadangan berdasarkan keputusan ujian apl anda.

Nota: Walaupun laporan prapelancaran merupakan alat yang praktikal dan hebat yang dapat membantu anda memperbaik apl anda, Google tidak dapat menjamin bahawa ujian akan mengenal pasti semua isu. Untuk memastikan keputusan anda menyeluruh dan berkaitan dengan anda sebaik mungkin, semak dan kemas kini tetapan laporan prapelancaran anda.

Ikhtisar laporan prapelancaran anda

Halaman ikhtisar laporan prapelancaran anda memberikan ringkasan tentang sebarang ralat unik, amaran dan isu kecil yang dijumpai semasa ujian, dikelompokkan dalam empat kategori: Kestabilan, Prestasi, Kebolehaksesan serta Keselamatan dan kepercayaan. Kategori-kategori ini diterangkan di bawah dengan lebih terperinci.

Anda juga akan melihat bilangan peranti yang digunakan untuk menguji apl anda dan bergantung pada keputusan ujian, cerapan dan pengesyoran yang dapat membantu anda meningkatkan apl anda.

Yang berikut ialah beberapa contoh isu yang dijumpai semasa ujian:

  • Ralat: Termasuk ranap, ANR, penggunaan pustaka yang rosak dan penggunaan API yang tidak disokong yang telah diterhadkan.
  • Amaran: Termasuk permulaan dan masa muat perlahan, isu log masuk atau perangkakan, isu memori, penggunaan API yang tidak disokong yang belum disekat.
  • Isu kecil: Termasuk tiada label kandungan, isu kontras warna, saiz sasaran sentuhan kecil, isu pelaksanaan.

 

Runtuhkan Semua Kembangkan Semua

Butiran laporan prapelancaran anda

Kestabilan

Setiap bahagian tab Kestabilan memperincikan isu yang dijumpai semasa ujian, yang boleh merangkumi:

  • Jenis dan ikon isu:
    • Merah menunjukkan ralat
    • Kuning menunjukkan amaran
    • Hijau menunjukkan bahawa ujian tidak menjumpai isu
  • Bilangan peranti tempat isu dikesan
  • Surih tindanan yang dikaitkan dengan isu tersebut
  • API yang berkaitan (jika berkenaan)
  • Kekerapan isu tersebut dikesan semasa ujian (jika berkenaan)

Di sebelah setiap isu, anda boleh memilih Tunjukkan lagi untuk mendapatkan butiran terperinci tentang isu tersebut, seperti nama peranti, saiz skrin, versi Android, RAM, antara muka perduaan aplikasi (ABI) dan tempat peristiwa. Anda boleh memilih setiap model peranti untuk melihat spesifikasi peranti, melihat tangkapan skrin dan video daripada ujian, output gelung demo dan surih tindanan (yang juga boleh dimuat turun). Sila ambil perhatian bahawa ketersediaan butiran ini mungkin berbeza-beza.

Nota: Memandangkan ranap yang dijumpai semasa menjana laporan prapelancaran diperoleh daripada peranti ujian, ranap ini tidak memberikan kesan kepada statistik ranap anda.

Lihat peranti ujian tanpa isu

Di bahagian bawah tab Kestabilan, anda dapat melihat jadual Peranti ujian tanpa isu untuk melihat maklumat tentang ujian yang tidak menghasilkan sebarang isu. 

Pada setiap baris, anda dapat melihat nama peranti ujian, versi Android peranti dan ikon yang menunjukkan sama ada apl anda mengalami sebarang isu semasa ujian.

Kestabilan: Keserasian Android

Jika apl anda menggunakan satu atau lebih antara muka yang bukan dalam SDK Android umum (sering disebut "tidak disokong" atau "antara muka bukan SDK"), anda akan melihat ralat dan amaran yang disenaraikan pada tab Ikhtisar dan Kestabilan pada laporan prapelancaran anda.

Lihat setiap isu

Untuk mengenal pasti antara muka tidak disokong yang sedang digunakan, klik pautan Lihat isu bersebelahan dengan ralat dan amaran “keserasian OS” dalam laporan prapelancaran anda. Untuk melihat tempat antara muka tertentu dipanggil dalam apl anda, klik anak panah ke bawah di sebelah antara muka itu untuk melihat surih tindanan. Antara muka tunggal boleh dipanggil beberapa kali dalam ujian tunggal.

Antara muka yang tidak disokong dikategorikan mengikut keterukan. Untuk mengelakkan isu kestabilan, sebaiknya berhenti menggunakan antara muka yang tidak disokong sepenuhnya, tetapi anda boleh menggunakan kategori itu untuk membantu anda mengutamakan isu yang harus ditangani terlebih dahulu.

Yang berikut ialah urutan keutamaan yang dicadangkan:

  1. Disekat: Antara muka yang akan rosak pada sesetengah atau semua versi Android.
  2. Tidak disokong tetapi dengan sekatan pasti: Antara muka yang tidak dijamin akan berfungsi, yang akan disekat dalam keluaran Android yang akan datang.
  3. Tidak disokong, sekatan tidak pasti: Antara muka yang tidak dijamin akan berfungsi.

Nota: Dalam setiap kategori, antara muka disusun mengikut kekerapan, yang juga boleh membantu anda mengutamakan isu yang harus ditangani dahulu.

Prestasi

Untuk setiap model peranti, ringkasan ujian prestasi termasuk metrik yang berikut:

  • Purata bingkai sesaat: Kadar purata bingkai dipaparkan.
    • Nota: Data purata bingkai sesaat tersedia untuk ujian yang menggunakan gelung permainan sahaja.
  • Purata CPU: Peratusan penggunaan CPU purata oleh apl anda pada model peranti tertentu.
  • Purata rangkaian dihantar: Purata bilangan bait sesaat yang dihantar oleh apl anda melalui sambungan rangkaian pada model peranti tertentu.
  • Purata rangkaian yang diterima: Purata bilangan bait sesaat yang diterima oleh apl anda melalui sambungan rangkaian pada model peranti tertentu.
  • Purata memori: Purata memori yang digunakan dalam apl anda sepanjang tempoh masa yang dipilih pada model peranti tertentu.

Nota: Peranti ujian yang menjalankan beberapa versi Android yang lebih lama mungkin tidak dapat menjana data prestasi.

Lihat laporan individu

Pilih setiap model peranti untuk melihat spesifikasi peranti, statistik prestasi, prestasi dalam tempoh masa tertentu dan melihat tangkapan skrin dan video daripada ujian. Anda juga boleh melihat graf dan rakaman setiap metrik yang diplotkan secara beransur-ansur sepanjang ujian. 

Contohnya, anda boleh melihat peratusan penggunaan CPU apl anda semasa ujian berlangsung. Jika anda melihat peningkatan penggunaan CPU yang mendadak, semak tindakan yang diambil oleh perangkak pada masa itu untuk membantu menyelesaikan masalah.

Sila ambil perhatian bahawa ketersediaan butiran ini mungkin berbeza-beza.

Kebolehaksesan

Setiap ringkasan ujian kebolehaksesan merangkumi bilangan ralat kebolehaksesan, amaran dan isu kecil yang dijumpai semasa ujian, dipisahkan mengikut kategori yang berikut:

  • Pelabelan kandungan: Unsur dalam apl anda yang dilabelkan dengan tidak betul untuk pembaca skrin.
  • Saiz sasaran sentuhan: Unsur dalam apl anda yang tidak mencapai saiz sasaran sentuhan yang disyorkan.
  • Pelaksanaan: Isu reka letak yang boleh menyukarkan pengguna dengan gangguan motor.
  • Kontras rendah: Isu warna kontras rendah dalam apl anda.

Lihat laporan mengikut kategori

Anda boleh menatal di bawah ringkasan di bahagian atas tab Kebolehaksesan untuk melihat bahagian yang dikategorikan dengan gugusan skrin yang mengenal pasti isu kebolehaksesan yang terdapat dalam apl anda.

  • Anda akan melihat ikon berwarna merah jika sebarang ralat dikenal pasti.
  • Anda akan melihat ikon berwarna kuning jika sebarang amaran dikenal pasti.
  • Anda akan melihat ikon berwarna biru jika isu kecil sahaja dikenal pasti.
  • Anda akan melihat tanda semak berwarna hijau jika tiada sebarang isu dikenal pasti.

Lihat setiap isu

Anda boleh memilih gugusan skrin untuk melihat contoh tangkapan skrin dengan nama model, sistem operasi, saiz skrin, kepadatan skrin dan bahasa peranti yang sepadan berserta cadangan.

Tingkatkan kebolehaksesan apl anda

Tangkapan skrin

Ringkasan ujian tangkapan skrin anda memberikan: 

  • Imej yang menunjukkan rupa apl anda pada semua peranti ujian dalam bahasa yang berbeza.
  • Metadata tentang peranti yang diuji (termasuk nama model, versi Android, bahasa, peleraian skrin dan DPI)
  • Bilangan peranti yang mempunyai tangkapan skrin.
  • Bilangan peranti yang tidak dapat diuji menggunakan Android App Bundle atau APK anda:
    • Peranti tidak tersedia: Jika app bundle anda serasi dengan peranti ini tetapi terdapat isu semasa pengujian. Jika ujian anda mempunyai sebarang peranti yang tidak tersedia, anda mungkin ingin memuat naik APK atau app bundle yang lain dan menguji sekali lagi.
    • Peranti tidak serasi: App bundle anda tidak serasi dengan peranti ujian tertentu. Jika anda menguji sekali lagi, anda tidak akan menerima hasil ujian untuk sebarang peranti yang tidak serasi.

Nota: Jika anda menjalankan ujian menggunakan gelung demo, anda tidak akan melihat sebarang data pada tab Tangkapan skrin.

Cara untuk melihat tangkapan skrin

Anda boleh mengelompokkan keputusan ujian tangkapan skrin menggunakan pemilih Kelompokkan mengikut berhampiran bahagian atas sebelah kanan tab Tangkapan skrin. Terdapat dua cara untuk menyatukan tangkapan skrin anda:

  • Gugusan skrin: Pilih Gugusan skrin untuk melihat paparan tangkapan skrin yang sama pada peranti berbeza. Dengan paparan ini, laporan prapelancaran menyatukan imej berdasarkan unsur atau widget pada skrin. Gugusan skrin dipilih secara lalai.
  • Peranti: Pilih Peranti untuk melihat semua tangkapan skrin yang dikaitkan dengan peranti tertentu. Dengan paparan ini, anda dapat melihat tangkapan skrin yang diambil dalam urutan kronologi semasa ujian.

Anda boleh memilih tangkapan skrin untuk melihat spesifikasi peranti dan maklumat tambahan.

Pilihan bahasa

Untuk melihat tangkapan skrin daripada bahasa tertentu, anda boleh menyediakan pilihan bahasa dalam tab Tetapan.

Keselamatan dan kepercayaan

Setiap ringkasan ujian merangkumi nama dan perihalan sebarang kerentanan keselamatan yang ditemukan dalam app bundle anda.

Nota: Kami mengesyorkan agar anda mengambil tindakan berhubung sebarang kerentanan keselamatan yang disenaraikan sebelum menerbitkan app bundle anda ke pengeluaran.

Buat ujian tersuai menggunakan Makmal Ujian Firebase

Jika apl atau permainan anda memerlukan ujian khusus yang lebih lanjut, anda boleh mempertimbangkan untuk menggunakan Makmal Ujian Firebase. Selepas membuat projek Firebase, anda boleh memilih jenis peranti anda daripada pelbagai lagi peranti dan kaedah ujian untuk membuat ujian tersuai. Kemudian anda boleh menjalankan dan melihat keputusan ujian tersuai dalam konsol Firebase. 5-15 ujian pertama yang anda jalankan dalam sehari adalah percuma.

Kandungan berkaitan

  • Ketahui lebih lanjut tentang cara anda boleh menggunakan laporan prapelancaran untuk mengenal pasti isu dalam Akademi Play.

Adakah perkara ini membantu?

Bagaimanakah dapat kami meningkatkannya?

Perlukan bantuan lanjut?

Cuba langkah seterusnya ini:

Cari
Kosongkan carian
Tutup carian
Menu utama
7804039066196327945
true
Cari di Pusat Bantuan
true
true
true
true
true
92637
false
false