Keperluan ujian apl untuk akaun pembangun peribadi baharu

Pada bulan November 2023, kami akan mengubah keperluan untuk menerbitkan apl baharu pada Google Play untuk membantu pembangun menguji apl mereka, mengenal pasti masalah, mendapatkan maklum balas dan memastikan semuanya sudah sedia sebelum dilancarkan. Perubahan ini menghendaki pembangun dengan akaun peribadi yang dibuat selepas 13 November 2023, untuk memenuhi keperluan ujian tertentu sebelum mereka boleh menjadikan apl mereka tersedia pada Google Play.

Artikel ini memberikan gambaran keseluruhan tentang keperluan baharu, ringkasan runut ujian yang berbeza pada Play Console dan langkah yang perlu diambil oleh penerbit dengan akaun peribadi untuk menjadikan apl anda tersedia kepada pengguna pada Google Play.

Memperkenalkan keperluan ujian untuk akaun peribadi yang baru dibuat

Ujian ialah bahagian yang penting dalam proses pembangunan apl. Dengan menjalankan ujian terhadap apl anda secara konsisten, anda boleh mengesahkan ketepatan, gelagat kefungsian dan kebolehgunaan apl anda sebelum mengeluarkan apl tersebut secara terbuka. Hal ini meminimumkan kesan sebarang masalah teknikal atau pengalaman pengguna dan membantu anda mengeluarkan versi terbaik apl anda. Pembangun yang kerap menggunakan alatan ujian Play Console sebelum menerbitkan apl mereka dapat memberikan pengalaman berkualiti tinggi yang boleh membawa kepada rating yang lebih tinggi dan lebih banyak kejayaan pada Google Play.

Untuk membantu semua pembangun menyediakan apl yang berkualiti tinggi, kami memperkenalkan keperluan ujian baharu. Pembangun dengan akaun peribadi yang dibuat selepas 13 November 2023 perlu menguji apl mereka sebelum apl tersebut layak diterbitkan untuk diedarkan pada Google Play. Ciri tertentu dalam Play Console seperti Pengeluaran (Keluaran > Pengeluaran) dan Prapendaftaran (Keluaran > Ujian > Prapendaftaran) akan dilumpuhkan sehingga pembangun memenuhi keperluan ini.

Ikhtisar keperluan ujian

Jika akaun pembangun peribadi anda baru dibuat, anda mestilah menjalankan ujian tertutup untuk apl anda dengan sekurang-kurangnya 20 orang penguji yang telah ikut serta selama sekurang-kurangnya 14 hari yang lalu secara berterusan. Apabila anda memenuhi kriteria ini, anda boleh memohon akses pengeluaran pada Papan pemuka dalam Play Console supaya anda akhirnya dapat mengedarkan apl anda pada Google Play. Semasa memohon, anda mestilah menjawab beberapa soalan untuk membantu kami memahami apl anda, proses ujian dan kesediaan pengeluaran apl tersebut.

Anda boleh membaca tentang pelbagai jenis runut ujian dan keperluan untuk setiap runut ujian tersebut dengan lebih terperinci di bawah dan mendapatkan butiran lanjut tentang permohonan akses pengeluaran.

Memahami runut ujian yang berbeza dan keperluan runut ujian tersebut

Play Console menyediakan pelbagai jenis runut ujian supaya anda boleh meningkatkan ujian dan meningkatkan apl anda secara beransur-ansur sehingga apl itu sedia untuk menjangkau berbilion pengguna pada Google Play.

  • Ujian dalaman: Sebelum anda selesai menyediakan apl anda, anda boleh mengedarkan binaan dengan cepat kepada sekumpulan kecil penguji dipercayai anda sendiri. Hal ini akan dapat membantu anda mengenal pasti masalah dan mendapatkan maklum balas awal. Binaan biasanya tersedia kepada penguji dalam masa beberapa saat binaan tersebut ditambahkan dalam Play Console. Ujian dalaman tidak diwajibkan tetapi kami mengesyorkan supaya anda bermula di sini.
  • Ujian tertutup: Dengan ujian tertutup, anda boleh berkongsi apl anda dengan sekumpulan besar pengguna yang anda kawal. Hal ini membolehkan anda menyelesaikan masalah dan memastikan apl anda mematuhi dasar Google Play sebelum dilancarkan. Anda mestilah menjalankan ujian tertutup sebelum anda boleh memohon untuk menerbitkan apl anda pada pengeluaran. Sekurang-kurangnya 20 orang penguji mestilah ikut serta dalam ujian tertutup anda apabila anda memohon akses pengeluaran. Mereka mestilah telah ikut serta selama 14 hari yang lalu secara berterusan. Anda boleh memulakan ujian tertutup sebaik sahaja anda selesai menyediakan apl anda.
  • Ujian terbuka: Membolehkan anda memaparkan versi ujian apl anda pada Google Play. Jika anda menjalankan ujian terbuka, sesiapa sahaja boleh menyertai program ujian anda dan menyerahkan maklum balas peribadi kepada anda. Sebelum membuat pilihan ini, pastikan apl dan penyenaraian gedung anda sudah sedia untuk dilihat pada Google Play. Ujian terbuka tersedia apabila anda mendapat akses pengeluaran.
  • Pengeluaran: Tempat anda menjadikan apl anda tersedia kepada berbilion pengguna pada Google Play. Sebelum anda boleh memohon untuk menerbitkan apl anda pada pengeluaran, anda perlu menjalankan ujian tertutup yang memenuhi kriteria kami. Semasa memohon, anda juga perlu menjawab beberapa soalan tentang ujian tertutup anda. Apabila anda memohon akses pengeluaran, sekurang-kurangnya 20 orang penguji mestilah ikut serta dalam ujian tertutup anda. Mereka mestilah telah ikut serta selama 14 hari yang lalu secara berterusan.
Ringkasan keperluan ujian bagi setiap runut

Anda mungkin mendapati jadual di bawah berguna untuk menyemak atau merujuk dengan pantas tujuan setiap runut dan keperluan (jika ada) untuk mengakses setiap runut.

Jenis runut Tujuan Keperluan untuk mengakses runut ini
Ujian dalaman Untuk mengedarkan binaan dengan cepat kepada sekumpulan kecil penguji dipercayai anda sendiri untuk mengenal pasti masalah dan mendapatkan maklum balas awal (sebelum atau selepas anda selesai menyediakan apl anda). Tiada.
Ujian tertutup Untuk berkongsi apl anda dengan sekumpulan besar pengguna yang anda kawal supaya anda boleh menyelesaikan masalah dan memastikan apl anda mematuhi dasar Google Play sebelum dilancarkan. Mestilah telah selesai menyediakan apl anda.
Ujian terbuka

Untuk memaparkan versi ujian apl anda pada Google Play — sesiapa sahaja boleh menyertai ujian anda dan menyerahkan maklum balas peribadi kepada anda.

Mestilah telah mendapat akses kepada pengeluaran untuk mengakses ujian terbuka.
Pengeluaran Untuk menjadikan apl anda tersedia kepada berbilion pengguna pada Google Play.

Sebelum anda boleh memohon akses pengeluaran, anda mestilah menjalankan ujian tertutup dengan sekurang-kurangnya 20 orang penguji yang ikut serta selama 14 hari.

Setelah anda memenuhi kriteria, anda kemudian boleh memohon akses pengeluaran dengan menjawab beberapa soalan tentang ujian anda, apl anda dan kesediaan pengeluaran apl tersebut dalam Play Console.

Panduan dan amalan terbaik bagi ujian tertutup

Anda boleh mengetahui tentang cara mereka bentuk, membangunkan dan mengedarkan apl Android anda pada Google melalui pautan yang berguna di bawah:

Perekrutan penguji

Cara paling biasa untuk merekrut penguji adalah menggunakan rangkaian peribadi dan profesional. Anda boleh menghubungi rakan, keluarga, rakan sekerja atau rakan sekelas anda, sebagai contoh, dan meminta mereka menjadi penguji beta apl anda. Anda boleh menjangkau komuniti tempat pengguna berkemungkinan berada dan merekrut mereka secara aktif untuk menguji apl anda. Sebagai contoh, jika anda sedang membina apl untuk peminat CrossFit, maka pertimbangkan untuk mendekati kelab tempatan atau berhubung dengan pengguna sasaran anda menerusi kumpulan dalam talian. Anda juga boleh membuat siaran tentang apl anda pada media sosial dan meminta pengikut anda mendaftar untuk ujian.

Jika boleh, anda harus merekrut kumpulan penguji yang pelbagai untuk mengenal pasti pepijat dan isu kebolehgunaan yang mungkin khusus untuk jenis pengguna atau peranti tertentu. Atas sebab yang sama, anda juga harus merekrut penguji yang anda percaya mewakili bakal pengguna apl anda. Sebagai contoh, jika anda sedang membangunkan apl produktiviti untuk perniagaan, anda harus merekrut penguji yang merupakan profesional perniagaan daripada pelbagai industri yang anda percaya apl anda mungkin popular dalam kalangan mereka. Lebih dekat pengguna ujian anda dengan pengguna sasaran anda, lebih banyak maklum balas berguna yang akan anda terima.

Berinteraksi dengan penguji

Apabila anda telah merekrut sekumpulan penguji beta, anda perlu memberi mereka arahan yang jelas tentang cara menguji apl anda dan melaporkan pepijat. Beritahu penguji anda jenis maklum balas yang anda kehendaki. Cuba galakkan penguji menggunakan sebanyak mungkin ciri apl anda untuk menerima maklum balas yang menyeluruh.

Sertakan saluran maklum balas atau beritahu pengguna anda cara mereka boleh memberikan maklum balas kepada anda (contohnya, melalui e-mel, laman web atau forum mesej). Penguji anda juga boleh memberi anda maklum balas peribadi melalui Google Play.

Penting: Tegaskan kepada penguji anda bahawa mereka perlu kekal ikut serta dalam ujian tertutup anda selama sekurang-kurangnya 14 hari secara berterusan.

Mengumpulkan dan melihat maklum balas pengguna

Jika apl anda sedang diuji, anda boleh mengakses dan membalas maklum balas pengguna dalam Play Console. Maklum balas daripada pengguna hanya dipaparkan kepada anda dan tidak dapat dilihat pada Google Play.

  1. Buka Play Console dan akses halaman Maklum balas ujian (Rating dan ulasan > Maklum balas ujian).
  2. Tentukan cara yang mahu digunakan untuk menyemak imbas maklum balas anda.
    • Tapis: Untuk melihat maklum balas beta berdasarkan kriteria tertentu (seperti tarikh, bahasa, keadaan balasan, versi apl, peranti dan pelbagai lagi), pilih daripada penapis yang tersedia.
    • Carian: Untuk mencari perkataan tertentu dalam maklum balas anda, gunakan kotak carian.
Petua: Simpan rekod maklum balas yang anda terima. Anda boleh membaca semula maklum balas ini kemudian untuk mengenal pasti tema atau masalah maklum balas biasa yang mahu anda tangani dalam jangka masa pendek atau panjang dengan lebih mudah untuk meningkatkan apl anda. Kami juga akan meminta anda meringkaskan maklum balas ujian anda untuk kami kemudian apabila anda memohon akses pengeluaran.

Bertindak berdasarkan maklum balas pengguna

Sepanjang tempoh ujian apl, anda hendaklah bertindak terhadap maklum balas penguji anda dan pastikan anda membetulkan sebarang pepijat yang ditemukan oleh mereka. Tindakan ini akan:

  • Membantu anda meningkatkan pengalaman pengguna apl anda;
  • meningkatkan kemungkinan permohonan akses pengeluaran anda berjaya; dan
  • mengelakkan ulasan negatif apabila anda mula mengedarkan apl anda pada Google Play.

Ujian lanjutan

Panduan dalam artikel ini hanyalah titik permulaan untuk membantu anda memahami asas ujian semasa anda bersedia untuk mengedarkan apl pertama anda. Anda boleh meneroka sumber dan teknik ujian yang jauh lebih maju untuk mengoptimumkan kualiti apl anda seiring dengan peningkatan pengalaman anda sebagai pembangun. Sebagai contoh, anda mungkin mahu mengetahui tentang apl ujian pada Android dan asas ujian pada laman Pembangun Android.

Play Console juga menyediakan pelbagai ciri yang boleh membantu anda mengenal pasti masalah berkenaan dengan apl anda. Anda boleh menyediakan dan menjalankan laporan prapelancaran untuk mengenal pasti masalah secara proaktif sebelum apl anda menjangkau pengguna melalui laporan terperinci yang menyenaraikan masalah, amaran dan ralat penyenaraian yang mungkin mahu disiasat atau diselesaikan.

Menjalankan ujian tertutup

Anda boleh mengetahui cara menyediakan dan menjalankan ujian tertutup menerusi halaman Pusat Bantuan ini.

Memohon akses kepada pengeluaran

Setelah anda memenuhi keperluan ujian tertutup, anda boleh memohon akses pengeluaran. Untuk bermula:

  1. Lawati Papan pemuka.
  2. Klik Mohon untuk pengeluaran.

Kemudian, anda perlu menjawab soalan yang berikut tentang ujian tertutup anda, apl anda dan kesediaan pengeluaran apl anda. Soalan ini dibahagikan kepada tiga bahagian:

  • Perihal ujian tertutup anda
  • Perihal apl/permainan anda
  • Kesediaan pengeluaran

Anda boleh menemukan panduan untuk menyediakan maklumat bagi setiap bahagian dengan mengembangkan bahagian di bawah.

Bahagian 1: Beritahu kami tentang ujian tertutup anda

Maklumat yang anda berikan dalam bahagian "Perihal ujian tertutup anda" membantu kami memastikan bahawa apl telah diuji dengan memuaskan sebelum diterbitkan pada Google Play. Hal ini membantu kami melindungi pengguna daripada apl berkualiti rendah, menghalang penyebaran perisian hasad dan mengurangkan penipuan.

Berikut ialah perkara yang perlu anda kongsi untuk melengkapkan bahagian ini:

  1. Beritahu kami betapa mudahnya anda merekrut penguji untuk apl anda dengan memilih salah satu pilihan yang disenaraikan. Hal ini membantu kami memahami pengalaman pembangun dengan keperluan ujian Google Play.
  2. Berikan maklumat tentang keterlibatan yang anda terima daripada penguji semasa ujian tertutup anda. Contoh maklumat yang berkaitan di sini termasuk:
    • Sama ada penguji menggunakan semua ciri apl anda atau tidak
    • Sama ada penggunaan penguji anda konsisten dengan cara anda menjangkakan pengguna pengeluaran menggunakan apl anda dan jika tidak, perbezaan yang anda jangka dapat dilihat.
  3. Akhir sekali, ringkaskan maklum balas yang anda terima daripada penguji dan beritahu kami cara anda mengumpulkan maklum balas ini.
  4. Klik Seterusnya.
    • Penting: Jika anda mengklik Buang atau keluar tanpa memilih seterusnya dan menyelesaikan permohonan akses pengeluaran anda, perubahan anda tidak akan disimpan.
Bahagian 2: Beritahu kami tentang apl/permainan anda

Maklumat yang anda berikan dalam bahagian "Perihal apl/permainan anda" membantu kami mengetahui lebih banyak maklumat yang berkaitan tentang apl atau permainan anda untuk memahami apl atau permainan anda dengan lebih baik. Jawapan anda tidak dipaparkan pada Google Play dan tidak akan menjejaskan ciri dan perkhidmatan yang boleh anda akses dalam Play Console, cara apl atau permainan anda dipaparkan atau kelayakan anda untuk program pembangun Google Play.

Berikut ialah perkara yang perlu anda kongsi untuk melengkapkan bahagian ini:

  1. Beritahu kami khalayak yang dimaksudkan bagi apl atau permainan anda. Sila jawab secara terperinci dengan sebaik mungkin.
  2. Soalan kedua berbeza sedikit bergantung pada sama ada anda pembangun apl atau permainan:
    • Untuk apl: Perihalkan cara apl anda memberikan nilai kepada pengguna. Jika anda tidak pasti tentang perkara yang kami maksudkan, lawati laman Pembangun Android untuk mengetahui lebih lanjut tentang kualiti apl pada Google Play.
    • Untuk permainan: Terangkan perkara yang menjadikan permainan anda menonjol.
  3. Beritahu kami jumlah pemasangan yang anda jangkakan untuk apl atau permainan anda pada tahun pertama. Pilihan julat yang luas disediakan, maka pilih pilihan yang paling berkemungkinan pada pendapat anda. Tidak mengapa jika pilihan ini sekadar anggaran kasar.
  4. Klik Seterusnya.
    • Penting: Jika anda mengklik Buang atau keluar tanpa memilih seterusnya dan menyelesaikan permohonan akses pengeluaran anda, perubahan anda tidak akan disimpan.
Bahagian 3: Beritahu kami tentang kesediaan pengeluaran anda

Maklumat yang anda berikan dalam bahagian "Perihal kesediaan pengeluaran anda" membantu kami memahami sama ada apl atau permainan anda sedia untuk pengeluaran atau tidak.

Berikut ialah perkara yang perlu anda kongsi untuk melengkapkan bahagian ini:

  1. Beritahu kami tentang perubahan yang anda buat pada apl atau permainan anda berdasarkan perkara yang anda pelajari semasa ujian tertutup anda.
  2. Perihalkan cara anda memutuskan bahawa apl atau permainan anda telah sedia untuk pengeluaran.
  3. Klik Gunakan.
    • Penting: Jika anda mengklik Buang atau keluar tanpa memohon akses pengeluaran, perubahan anda tidak akan disimpan.

Selepas anda memohon akses kepada pengeluaran

Selepas anda melengkapkan permintaan akses pengeluaran, kami akan menyemak serahan anda. Apabila semakan selesai, kami akan menghantar e-mel kepada pemilik akaun berserta kemaskinian. Perkara ini biasanya mengambil masa 7 hari atau kurang tetapi kadangkala mungkin mengambil masa yang lebih lama.

Jika apl anda belum sedia untuk diterbitkan, anda mungkin perlu meneruskan pengujian apl anda. Contoh termasuk tidak memiliki 20 penguji yang mengikut serta ujian tertutup anda atau penguji anda tidak berinteraksi dengan apl anda semasa ujian tertutup anda berlangsung.

Jika permohonan anda berjaya, anda boleh mengakses Pengeluaran (Keluaran > Pengeluaran) dan boleh menjadikan apl anda tersedia untuk berbilion pengguna pada Google Play apabila anda berpendapat apl anda sudah sedia. Anda juga boleh menggunakan Ujian terbuka (Keluaran > Ujian > Ujian terbuka). Kami mengesyorkan supaya anda menguji apl anda secara meluas sebelum menerbitkan apl tersebut pada pengeluaran dan menguji secara rutin sebarang kemaskinian yang dibuat kelak.

Soalan lazim

Apakah yang dimaksudkan dengan penguji perlu ikut serta selama 14 hari yang lalu secara berterusan sebelum saya boleh memohon untuk pengeluaran?

Hal ini bermaksud kami tidak akan mengambil kira penguji yang ikut serta tetapi menguji apl kurang daripada 14 hari, kemudian menarik diri. Walaupun mereka ikut serta semula dan mereka ikut serta selama 14 hari secara keseluruhan, 14 hari itu mestilah berturut-turut untuk diambil kira dalam kriteria 20 penguji yang ikut serta dan telah menguji apl selama 14 hari berturut-turut.

Adakah terdapat lebih banyak amalan terbaik untuk ujian yang mungkin membantu saya?

Teruskan untuk menggunakan ujian tertutup apabila anda membetulkan masalah dan pepijat yang dilaporkan pengguna. Tindakan mengemaskinikan apl anda dalam ujian tertutup sebelum pengeluaran ialah cara yang baik untuk meminimumkan ulasan dan rating kualiti rendah.

Pertimbangkan untuk mengundang penguji tertutup anda kepada kumpulan pemesejan agar maklum balas dapat dilihat oleh penguji lain. Penguji anda juga boleh memberikan maklum balas dan konteks tambahan, yang akan membantu anda mengutamakan aspek apl atau permainan anda yang harus ditingkatkan.

Selain pembetulan ranap sistem dan pepijat, pastikan anda menguji pengalaman pengguna keseluruhan bagi apl anda. Ketahui lebih lanjut tentang kualiti apl dan permainan pada Google Play.

Adakah terdapat sebarang ciri Play Console lain yang perlu saya pelajari untuk membantu saya berjaya pada Google Play?

Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang ciri Play Console dan berita Play Console yang terbaharu pada laman Google Play. Anda juga boleh mengikuti latihan dalam talian percuma yang direka bentuk oleh pakar Google untuk pembangun apl yang baharu dan bercita-cita tinggi menerusi Akademi Google Play.

Adakah perkara ini membantu?

Bagaimanakah dapat kami meningkatkannya?

Perlukan bantuan lanjut?

Cuba langkah seterusnya ini:

Cari
Kosongkan carian
Tutup carian
Menu utama
17183060460128816968
true
Cari di Pusat Bantuan
true
true
true
true
true
92637
false
false