Jalankan percubaan harga untuk mengoptimumkan harga produk dalam apl

Anda boleh menjalankan percubaan harga dalam Play Console untuk mempelbagaikan strategi harga anda bagi pasaran yang semakin popular atau uji titik harga yang berbeza dalam pasaran teras anda untuk mendorong lebih banyak hasil.

Ikhtisar

Percubaan harga membolehkan anda menjalankan ujian A/B dan menggunakan keputusan tersebut untuk melaraskan harga apl anda dengan yakin dan tepat mengikut kuasa beli dalam pasaran yang berbeza di seluruh dunia. Anda juga boleh menggunakan percubaan harga untuk menguji titik harga yang berbeza berbanding dengan harga kawalan dalam pasaran teras anda untuk mendorong lebih banyak hasil. Penetapan set harga optimum untuk produk dalam apl anda di negara/rantau berbeza memastikan bahawa anda menggunakan strategi harga yang terbaik bagi apl anda untuk terus mendorong peningkatan hasil sementara masih menarik minat pengguna baharu. Memandangkan ciri ini didasarkan pada harga dan jualan produk dalam apl, anda mestilah menjadi pembangun pedagang untuk menggunakan ciri tersebut.

Sediakan dan jalankan percubaan harga

Bahagian di bawah memberikan panduan dan maklumat penting tentang cara menyediakan dan menjalankan percubaan harga serta memahami keputusan percubaan tersebut.

Sebelum anda bermula

Kembangkan dan baca setiap bahagian di bawah sebelum anda mula menyediakan percubaan harga dalam Play Console.

Prasyarat
  • Anda hanya boleh menggunakan produk dalam apl yang aktif dalam percubaan.
  • Pengguna mestilah memiliki kebenaran Urus kehadiran gedung dan kebenaran Lihat data kewangan untuk menggunakan percubaan harga.
Maklumat penting

Maklumat umum

  • Percubaan dijalankan pada peringkat apl sahaja; anda tidak boleh menjalankan percubaan merentas berbilang apl.
  • Tempoh maksimum percubaan boleh dijalankan ialah enam bulan dan selepas tempoh itu, harga akan kembali kepada harga asal. Harga juga akan kembali kepada harga asal selepas 14 hari percubaan memperoleh keertian statistik.
  • Anda boleh menguji maksimum 1000 produk dalam apl dalam satu percubaan.
  • Anda tidak boleh menjalankan percubaan yang sama dengan produk dalam apl bertindih dan negara bertindih selama sekurang-kurangnya 30 hari selepas percubaan asal berakhir.
  • Anda tidak boleh menjeda percubaan. Anda hanya boleh menjalankan atau menghentikan percubaan sepenuhnya. Anda tidak boleh memulakan semula percubaan yang telah dihentikan.

Had negara/rantau

  • Anda hanya boleh menjalankan satu percubaan pada satu-satu masa, di mana-mana negara/rantau tertentu. Sebagai contoh, jika anda sudah menjalankan percubaan di Norway, anda tidak boleh menjalankan percubaan lain di negara itu terhadap produk yang berbeza melainkan anda menghentikan percubaan pertama dan membuat percubaan yang lain.
  • Harga yang diuji mestilah berada dalam julat harga tentuan bagi pembelian dalam apl. Jika peratusan harga berada di luar julat harga yang ditetapkan untuk negara/rantau itu sebagai sebahagian daripada percubaan, peratusan harga akan berhenti secara automatik pada nilai sempadan.
  • Anda boleh mempunyai tidak lebih daripada dua varian harga dan satu kawalan bagi setiap percubaan.
  • Percubaan hanya dilaksanakan di negara/rantau yang dipilih dan bukan di lokasi penggantian yang berkaitan. Sebagai contoh, sekiranya anda menjalankan percubaan di Perancis, ini tidak termasuk wilayah Perancis yang berkaitan (Guyana Perancis, Polinesia Perancis, Guadeloupe, Martinique, Mayotte, New Caledonia, Réunion, Saint Barthélemy, Saint Martin, Saint Pierre dan Miquelon, Wallis dan Futuna).

Perubahan pada produk dalam apl

  • Anda tidak boleh menukar harga produk dalam apl yang ditampilkan dalam percubaan yang sedang dijalankan. Untuk menukar harga tersebut, anda mestilah menghentikan percubaan. Berikan perhatian kepada perkara yang berikut:
    • Pengecualian hanya diberikan apabila anda menjalankan dua percubaan dan menggunakan keputusan percubaan pertama. Sebagai alternatif, jika produk dalam apl anda dipautkan kepada templat harga, anda boleh menukar harga produk dalam apl untuk negara yang tidak diuji sahaja.
    • Jika anda mengkonfigurasikan produk dalam apl baharu semasa percubaan aktif, produk tersebut akan dikecualikan daripada percubaan.

Tindakan menjalankan percubaan dan menggunakan keputusan

  • Anda boleh menggunakan harga percubaan pada bila-bila masa tetapi kami mengesyorkan agar anda menunggu sehingga keputusan anda mencapai keertian statistik dan hanya menggunakan perubahan harga yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dengan kumpulan kawalan.
  • Anda tidak boleh menambahkan negara/rantau atau produk tambahan pada percubaan yang sedang dijalankan.
  • JIka satu atau beberapa produk anda dipautkan kepada templat harga, penggunaan harga akan mengemaskinikan harga negara/rantau percubaan anda dan menyahpaut produk ini daripada templat.
Terminologi percubaan

Percubaan banyak menggunakan terminologi statistik. Jika anda tidak biasa dengan istilah ini, glosari di bawah mungkin berguna untuk anda.

Istilah Takrif Nota
Selang keyakinan

Julat nilai yang menyatakan ketidakpastian tentang sama ada keputusan mencapai keertian statistik atau tidak.

Perkara ini isyarat penting yang ditafsirkan bersama dengan hasil percubaan. Keertian statistik ditentukan apabila selang keyakinan tidak bersilang dengan 0.

Hal ini mungkin tidak kelihatan untuk beberapa hari pertama disebabkan oleh jumlah data yang rendah.

Tahap keyakinan

Kebarangkalian bahawa perbezaan yang diperhatikan antara varian dengan kawalan adalah benar.

Contoh: Tahap keyakinan sebanyak 90% bermakna 10% daripada masa, perbezaan yang diperhatikan berkemungkinan berlaku secara kebetulan. Dalam erti kata lain, terdapat kurang daripada 10% kebarangkalian bahawa data yang diuji boleh berlaku sekiranya tiada perbezaan antara kawalan dengan varian.
  • Kami menggunakan teknik jackknife (alat statistik yang membolehkan anggaran varians melalui pensampelan semula) untuk mengira selang keyakinan, kemudian menggunakan ujian kebarangkalian berjujukan campuran untuk mengawal kadar positif palsu yang telah dibesar-besarkan melalui pemantauan berterusan.
  • Tahap keyakinan lalai ialah 90% tetapi anda boleh memilih antara 70% hingga 99%. Setelah dipilih semasa persediaan percubaan, tahap keyakinan tidak akan berubah sepanjang pelaksanaan percubaan.
  • Anda tidak boleh menukar tahap keyakinan anda setelah anda memulakan percubaan.
  • Tahap keyakinan paling lazim ialah 95%, 90% dan 99%; tahap keyakinan yang lebih tinggi memerlukan lebih banyak data dan oleh yang demikian, keputusan percubaan berkemungkinan besar akan menjadi lebih andal.
  • Tahap keyakinan sebanyak 50% bermakna terdapat peluang 50:50 bahawa keputusan adalah betul (serupa dengan lambungan duit).
Kawalan Pemboleh ubah ujian asal (mengandungi pembelian dalam apl yang ditetapkan pada harga asal) dalam cabang eksperimen. Harga kawalan dilihat oleh sebahagian khalayak percubaan yang ditakrifkan semasa persediaan dan semua pengguna di luar percubaan.
Hasil percubaan Keputusan percubaan anda. Kemungkinan hasil percubaan disenaraikan dalam bahagian yang berikut.
Positif palsu Apabila peristiwa negatif salah dikategorikan sebagai positif.

Apabila kami mengesan bahawa perbezaan perbelanjaan antara kawalan dengan ujian telah mencapai keertian statistik (positif) tetapi perbezaan perbelanjaan antara kawalan dengan ujian sebenarnya tidak mencapai keertian statistik (negatif), keadaan ini dianggap sebagai positif palsu.

Kadar positif palsu ialah nisbah jumlah positif palsu kepada jumlah peristiwa negatif sebenar.

Produk dalam apl

Item yang perlu dibayar satu kali sahaja oleh pengguna.

Produk dalam apl boleh termasuk item seperti barangan maya (sebagai contoh, tahap atau posyen permainan) dan perkhidmatan premium dalam apl anda pada Google Play.

Anda boleh memilih satu atau pelbagai produk dalam apl dengan kuantiti maksimum sebanyak 2,000. Secara umumnya, lebih banyak data bermakna lebih sedikit masa untuk mengesan perbezaan antara kawalan dengan varian, jika terdapat perbezaan.

Tindakan membuat percubaan perubahan harga merentas banyak produk mungkin mengurangkan potensi pengkanibalan.

Kesan minimum yang dapat dikesan (MDE)

Input yang anda pilih semasa menyediakan percubaan yang menandakan tahap peningkatan yang dikehendaki untuk dikesan oleh percubaan anda. Anda boleh menganggap input ini sebagai penentuan tahap kesensitifan percubaan anda, yang memberikan kesan kepada anggaran masa untuk mencapai keertian statistik. Setelah anda memilih MDE, anda akan melihat anggaran masa yang diambil untuk menentukan keputusan yang mencapai keputusan berkeertian statistik berdasarkan data sejarah pilihan anda.

Sebagai contoh, MDE yang lebih kecil menghasilkan percubaan yang lebih sensitif dan hal ini menyebabkan pengiraan anggaran masa yang lebih lama untuk mencapai keertian statistik.

  • MDE lalai ialah 30% tetapi anda boleh memilih kenaikan 5% bermula daripada 5% hingga 50%.
  • Anda tidak boleh menukar MDE anda setelah anda memulakan percubaan.
  • MDE hanya memberikan kesan kepada pengiraan anggaran masa berkeertian statistik berdasarkan data sejarah atau apabila kami menentukan bahawa varian percubaan dan kawalan adalah sama. Untuk mendapatkan butiran lanjut, lihat kemungkinan hasil percubaan.
  • Jika anda membuat ujian pada produk baharu tanpa data sejarah, anggaran masa untuk mencapai keertian statistik tidak akan menjadi tepat.

Kesan kebaharuan Fenomena pengguna mungkin lebih menyukai atau mencuba ciri baharu (seperti produk baharu atau titik harga), walaupun ciri tersebut bukanlah lebih bagus atau lebih menarik daripada ciri yang asal. Dalam keadaan ini, lama-kelamaan peningkatan itu biasanya akan berhenti secara berperingkat-peringkat. Percubaan yang berakhir dengan cepat mungkin berakibat daripada kesan kebaharuan. Untuk mempertimbangkan kesan ini, kami mengesyorkan agar anda menggunakan pengiraan anggaran minggu untuk mencapai keertian statistik.
Keertian statistik Dalam ujian A/B, perkara ini yang menentukan sama ada perbezaan antara kawalan dengan varian adalah benar atau secara kebetulan.

Sekiranya selang keyakinan tidak termasuk nilai sifar dalam kesan yang diperhatikan, keputusan ujian ini dianggap telah mencapai keertian statistik. Dalam keadaan ini, kesan merujuk kepada perbezaan antara perbelanjaan kawalan dengan varian.

Anda boleh melihat beberapa contoh visual selang keyakinan dalam bahagian Soalan lazim.

Varian Variasi pemboleh ubah ujian asal untuk cabang eksperimen. Varian merujuk kepada sama ada peningkatan atau penurunan harga bagi pembelian dalam apl yang ditetapkan pada harga asal.

Sediakan percubaan

Apabila menyediakan percubaan, kami mengesyorkan agar anda menyertakan semua produk dalam apl yang boleh ditukar ganti dalam apl anda (seperti mata wang dalam permainan) dalam percubaan untuk mengehadkan pengkanibalan.

Sebelum anda bermula: Jumlah data yang rendah

Jika anda mengendalikan jumlah data yang rendah, anda berkemungkinan tidak akan mempunyai data yang mencukupi untuk membuat kesimpulan daripada percubaan. Sebagai contoh, sekiranya anda menjalankan percubaan dengan produk baharu, anggaran tempoh dan amaran percubaan mungkin tidak tepat. Dalam keadaan ini, anda mungkin melihat amaran dalam Play Console bahawa jumlah data yang sangat rendah diramalkan dalam rangka masa pilihan anda. Sekiranya anda menerima mesej jumlah data rendah, anda mungkin tidak mempunyai data yang mencukupi untuk menjalankan percubaan atau anda mungkin dapat melaraskan parameter percubaan anda. Yang berikut merupakan beberapa tindakan yang disyorkan untuk menyelesaikan masalah jumlah data yang rendah.

Sebaliknya, sekiranya anda menjalankan percubaan yang lebih lama, anda perlu mempertimbangkan bahawa keputusan mungkin terkesan dengan faktor ekonomi seperti turun naik mata wang global dari semasa ke semasa.

Bahagian 1: Tambahkan butiran

Untuk menambahkan butiran percubaan anda, lakukan perkara yang berikut:

  1. Buka Play Console dan akses halaman Percubaan harga (Wangkan > Percubaan harga).
  2. Klik Buat percubaan.
  3. Dalam bahagian "Tambahkan butiran", masukkan nama percubaan dan perihalan ringkas bagi percubaan anda (pilihan).
    • Nota: Nama percubaan dan perihalan ringkas anda tidak akan dilihat oleh pengguna.
  4. Pilih negara/rantau yang dikehendaki untuk membuat percubaan.
    • Penting: Percubaan harga hanya dilaksanakan di negara/rantau yang dipilih dan bukan di lokasi yang berkaitan. Sebagai contoh, sekiranya anda memilih Perancis, percubaan harga anda hanya akan dilaksanakan di Perancis dan bukan di wilayah yang berkaitan seperti Guyana Perancis.
  5. Menggunakan menu lungsur Produk, pilih produk dalam apl yang mahu anda buat percubaan. Menu lungsur ini menyenaraikan nama, ID dan harga produk dalam apl yang tersedia.
    • Penting: Jika anda memilih produk dalam apl yang dipautkan kepada templat harga, templat harga tersebut akan dikunci sepanjang tempoh percubaan harga.
  6. Pilih tarikh mula. Percubaan anda akan bermula pada 00:00 PT pada tarikh yang anda pilih. Anda boleh menjadualkan percubaan anda untuk dilancarkan pada masa hadapan.
  7. Klik Seterusnya untuk meneruskan persediaan percubaan anda dengan menambahkan varian.

Berdasarkan input persediaan percubaan anda, jika kami meramalkan bahawa jumlah data anda akan menjadi terlalu rendah untuk mencapai keertian statistik, anda akan melihat amaran. Dalam keadaan ini, kami mengesyorkan agar anda membuat pelarasan untuk memastikan anda mengumpulkan data yang mencukupi untuk mencapai keertian statistik. Untuk melihat langkah seterusnya yang boleh anda ambil, lihat Tindakan yang disyorkan untuk jumlah data yang rendah.

Tindakan yang disyorkan untuk jumlah data yang rendah

Syor yang berikut akan membantu untuk menukar jumlah data yang diperlukan untuk mencapai keertian statistik agar tempoh percubaan dipendekkan.

Langkah persediaan percubaan

Tindakan yang dicadangkan
Bahagian 1: Tambahkan butiran Tambahkan bilangan negara/rantau dalam percubaan.
Bahagian 1: Tambahkan butiran Uji merentas semua produk dalam apl atau tambahkan bilangan produk dalam apl.
Bahagian 2: Tambahkan varian Kurangkan bilangan varian daripada dua kepada satu.
Bahagian 2: Tambahkan varian

Cuba kurangkan harga anda dengan peratusan yang lebih besar (harga lebih rendah).

Nota: Tindakan ini tidak akan memberikan kesan kepada anggaran awal tetapi berguna semasa percubaan langsung.
Bahagian 3: Urus tetapan Tingkatkan saiz khalayak bagi setiap varian (sebagai contoh, 50% kawalan dan 50% pengendalian).
Bahagian 3: Urus tetapan

Tingkatkan kesan minimum yang dapat dikesan.

Nota: Tindakan ini hanya memberikan kesan kepada percubaan yang menunjukkan prestasi varian dan kawalan yang sama.

Bahagian 3: Urus tetapan Kurangkan tahap keyakinan.

Bahagian 2: Tambahkan varian

Dalam bahagian "Tambahkan varian", anda boleh menambahkan dan mengalih keluar varian harga. Percubaan harga anda mestilah mengandungi sekurang-kurangnya satu varian. Untuk menambahkan varian:

  1. Menggunakan menu lungsur, pilih Naikkan harga atau Turunkan harga dan masukkan peratusan yang mahu anda gunakan pada pilihan anda. Berikan perhatian kepada perkara yang berikut:
    • Anda mestilah memasukkan nombor bulat.
    • Jika anda memilih Turunkan harga, anda mestilah memasukkan nilai antara 1 hingga 99.
    • Jika anda memilih Naikkan harga, anda mestilah memasukkan nilai antara 1 hingga 999.
  2. Selepas menambahkan varian, julat harga kawalan anda dan julat harga varian anda akan disenaraikan pada halaman. Anda boleh mengklik Lihat harga produk untuk mendapatkan butiran lanjut, termasuk nama dan ID produk, lokasi penggantian (jika berkenaan) dan maklumat cukai. Pada halaman ini anda boleh melihat perubahan harga peratusan sebenar selepas menggunakan kadar pertukaran dan corak harga khusus negara.
  3. Klik + Tambahkan varian lain dan ulang langkah sebelumnya sekiranya anda mahu menyertakan berbilang varian dalam percubaan anda. Julat harga kawalan dan julat harga varian juga disenaraikan pada halaman ini.
  4. Klik Seterusnya untuk meneruskan persediaan percubaan anda dengan melaraskan tetapan percubaan anda.

Bahagian 3: Urus tetapan

Dalam bahagian "Urus tetapan", anda boleh menetapkan parameter penyasaran untuk melaraskan percubaan anda. Untuk mengurus tetapan percubaan anda:

  1. Masukkan khalayak percubaan anda. Parameter ini ialah peratusan pengguna yang akan mengambil bahagian dalam percubaan. Pengguna ini akan dibahagikan sama rata antara varian dengan kawalan anda. Harap maklum bahawa pengguna di luar percubaan juga akan melihat harga asal (kawalan) tetapi tidak akan disertakan dalam analisis percubaan.
    • Nota: Anda mestilah memasukkan nombor bulat antara 1 hingga 100.
  2. Masukkan tahap keyakinan anda. Tindakan menurunkan tahap keyakinan akan meningkatkan kebarangkalian positif palsu dan akan turut mengurangkan waktu jalan percubaan.
  3. Masukkan kesan minimum yang dapat dikesan. Parameter ini menandakan tahap peningkatan yang anda mahu dikesan oleh percubaan anda. Anda boleh menganggap input ini sebagai penentuan tahap kesensitifan percubaan anda. Parameter ini akan melaraskan pengiraan anggaran masa untuk mencapai keertian statistik.
  4. Perincikan parameter penyasaran untuk melaraskan percubaan anda. Anda boleh melihat pengiraan anggaran masa untuk mencapai keertian statistik sebagai garis panduan berdasarkan persediaan anda.

Bahagian 4: Lancarkan percubaan anda

Kini anda telah bersedia untuk melancarkan percubaan. Semasa percubaan, harga untuk produk dalam apl dan negara/rantau terpilih akan berubah. Anda boleh menamatkan percubaan anda pada bila-bila masa.

  1. Sebelum melancarkan percubaan anda, sahkan bahawa anda memahami perkara yang berikut:
    • Percubaan mungkin memberikan kesan kepada hasil apl anda. Sila ambil maklum bahawa tanpa keputusan berkeertian statistik, sebarang keputusan hasil negatif atau positif mungkin tidak bermakna, maka kami mengesyorkan agar anda menunggu sehingga anda mencapai keertian statistik.
    • Anda tidak akan dapat mengedit harga untuk produk dalam apl terpilih semasa percubaan sedang dijalankan.
    • Penggunaan keputusan percubaan akan memberikan kesan kepada semua negara/wilayah dan produk dalam apl.
  2. Klik Sahkan dan lancarkan.

Pilihan: Tamatkan percubaan anda

Anda boleh menamatkan percubaan anda pada bila-bila masa.

  1. Buka Play Console dan akses halaman Percubaan harga (Wangkan > Percubaan harga).
  2. Buka percubaan yang mahu anda tamatkan.
  3. Klik Tamatkan percubaan.

Selepas anda menamatkan percubaan, harga percubaan akan kembali kepada harga asal untuk negara/rantau dan produk dalam apl yang berkaitan. Percubaan dan analisis tidak akan aktif lagi.

Jika anda telah menjadualkan percubaan pada masa hadapan, anda juga boleh membatalkan percubaan tersebut dengan mengikut langkah sebelumnya. Percubaan yang dibatalkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh mula yang dijadualkan adakalanya dijalankan untuk sementara waktu.

Lihat keputusan percubaan dan gunakan varian

Anda perlu mengetahui pelbagai kemungkinan hasil percubaan dan makna setiap satu untuk apl anda dan strategi harga apl tersebut. Baca bahagian ini dengan teliti sebelum menggunakan keputusan anda.

Lihat dan analisis keputusan percubaan anda

Apabila keputusan anda dianggap telah mencapai keertian statistik, keputusan tersebut akan tersedia pada halaman analisis percubaan anda dan anda akan diberitahu melalui mesej Peti Masuk.

Lihat keputusan anda

Lawati percubaan anda untuk melihat keputusan dan analisis. Akses halaman Percubaan harga (Wangkan > Percubaan harga) dan klik anak panah ke kanan bersebelahan percubaan anda untuk melihat halaman analisis percubaan.

Hasil dipaparkan berhampiran bahagian atas halaman. Kembangkan bahagian Kemungkinan hasil percubaan untuk melihat hasil yang berbeza dan maksud setiap hasil. Di bawah hasil percubaan, anda boleh melihat perihalan ringkas yang menerangkan keputusan. Sebagai contoh, anda mungkin melihat, "Prestasi Varian [X] adalah yang terbaik" pada bahagian atas penjelasan ringkas tentang keputusan percubaan, yang mungkin mengatakan: "Varian [X] telah mencapai hasil paling banyak". Dalam keadaan prestasi varian menyamai atau mengatasi kawalan, anda boleh mengklik Gunakan varian [X] untuk menggunakan varian tersebut dan mengemaskinikan harga produk dalam apl anda dengan sewajarnya. Untuk mengetahui lebih lanjut, lihat Gunakan varian.

Nota: Percubaan tamat secara automatik 14 hari selepas keputusan ditentukan atau anda boleh mengklik Tamatkan percubaan untuk menamatkan percubaan dengan serta-merta.

Petua: Anda boleh menggunakan harga percubaan pada bila-bila masa tetapi kami mengesyorkan agar anda menunggu sehingga keputusan anda mencapai keertian statistik dan hanya menggunakan perubahan harga yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dengan kumpulan kawalan.

Lihat data sokongan

Di bawah hasil, sebuah jadual menunjukkan data yang menjadi dasar keputusan statistik. Jadual tersebut menyenaraikan varian, hasil, hasil berbanding dengan kawalan (dan hasil berbanding dengan kawalan dalam peratusan) dan selang keyakinan untuk varian anda. Jika anda mahu memahami metrik yang berbeza pada halaman analisis percubaan anda, kembangkan bahagian Takrifan metrik.

Di bawah jadual, dalam bahagian "Data sokongan", anda boleh melihat data yang lebih terperinci. Carta memaparkan maklumat hasil berbanding dengan kawalan hingga tarikh tersedia yang terkini sebagai lalai. Dalam paparan ini, bahagian yang berlorek mewakili selang keyakinan; carta ini membolehkan anda melihat perubahan selang keyakinan dari semasa ke semasa. Anda boleh melaraskan tempoh dan tarikh yang dipilih menggunakan penapis tempoh dan tarikh pada bahagian atas sebelah kanan carta.

Anda juga boleh memaparkan metrik yang berikut menggunakan penapis metrik pada bahagian atas sebelah kiri carta: Hasil, Pesanan, Pembeli, Nisbah pembeli, ARRPU (metrik ini juga diterangkan dalam Takrifan metrik). Sekiranya anda memilih metrik lain, carta tidak akan memaparkan selang keyakinan kerana metrik ini berdasarkan hasil.

Untuk melihat butiran peringkat produk, anda juga boleh mengeksport keputusan percubaan anda sebagai fail CSV. Anda boleh melihat medan, format dan contoh untuk eksport CSV dengan mengembangkan bahagian Takrifan metrik (eksport CSV).

Petua: Anda boleh mengklik Lihat persediaan percubaan untuk melihat butiran persediaan percubaan, yang boleh anda tapis mengikut varian dan negara/rantau. Tindakan ini mungkin berguna untuk mengingatkan diri anda dengan pantas tentang parameter percubaan.

Gunakan varian

Sebelum menggunakan varian anda, sila ambil perhatian perkara berikut:

  • Jika satu atau beberapa produk dalam apl anda dipautkan kepada templat harga, penggunaan varian akan mengemaskinikan harga negara/rantau percubaan anda dan menyahpautkan produk dalam apl ini daripada templat tersebut.
  • Anda hanya boleh menggunakan varian pada semua produk dalam apl dan negara/rantau dalam percubaan anda. Kami mengira keertian statistik merentas keseluruhan persediaan dan oleh yang demikian, tidak dapat menjamin hasil dan kesan yang sama sekiranya hanya sebahagian daripada negara/rantau dan produk dalam apl digunakan.

Sekiranya prestasi varian anda menyamai atau mengatasi kawalan anda, anda boleh mengemaskinikan harga anda dengan menggunakan varian tersebut:

  1. Buka Play Console dan akses halaman Percubaan harga (Wangkan > Percubaan harga).
  2. Klik Gunakan varian bersebelahan varian yang mahu anda gunakan.

Harga apl anda akan dikemaskinikan sebagai telah dikonfigurasikan dalam varian. Percubaan anda akan tamat secara automatik 14 hari selepas keputusan ditentukan atau anda boleh mengklik Tamatkan percubaan untuk menamatkan percubaan dengan serta-merta.

Kemungkinan hasil percubaan

Terdapat berbilang kemungkinan hasil percubaan. Hasil percubaan menentukan langkah anda yang seterusnya.

Hasil percubaan Makna Nota/syor
Varian [X] menunjukkan prestasi yang terbaik Varian [X] telah mencapai keertian statistik dengan menghasilkan keputusan yang bermakna dengan peningkatan hasil yang paling besar. Gunakan varian [X] kerana prestasi varian itu mengatasi kawalan anda dan varian lain dengan ketara.
Kedua-dua varian menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada kawalan Kedua-dua varian mencapai hasil yang lebih besar berbanding dengan kawalan. Semak keputusan dan tentukan varian yang hendak digunakan. Anda menentukan varian yang hendak digunakan.
Prestasi varian dan kawalan adalah sama Tiada varian yang mencapai hasil yang lebih besar daripada kawalan. Percubaan anda telah mengumpulkan data yang mencukupi dan menunjukkan keputusan yang sama antara varian dengan kawalan.
Kawalan menunjukkan prestasi yang terbaik Kawalan mencapai hasil yang lebih besar daripada kedua-dua varian. Keputusan ini menunjukkan bahawa titik harga semasa anda untuk negara dan produk percubaan telah pun dioptimumkan. Terus menggunakan harga kawalan untuk produk dan negara percubaan.
Lebih banyak data diperlukan Percubaan anda sedang dijalankan. Lebih banyak data diperlukan untuk menentukan keputusan berkeertian statistik. Akses bahagian tindakan yang disyorkan untuk jumlah data yang rendah untuk menentukan langkah seterusnya.
Keputusan tidak muktamad Percubaan anda telah dihentikan lebih awal atau telah mencapai tempoh maksimum percubaan iaitu enam bulan. Lebih banyak data diperlukan untuk menentukan hasil berkeertian statistik. Cuba jalankan percubaan baharu dengan persediaan yang berbeza. Akses bahagian tindakan yang disyorkan untuk jumlah data yang rendah untuk menentukan langkah seterusnya. Keputusan ini mungkin tanda bahawa pembeli tidak peduli akan harga produk dalam apl di negara/rantau percubaan.
Takrifan metrik

Jadual ini menyenaraikan metrik daripada halaman analisis percubaan anda.

Metrik Takrif
Semua hasil produk Hasil kasar daripada pengguna percubaan yang membeli produk dalam apl dalam dan luar percubaan sepanjang tempoh masa yang tertentu.
Purata hasil bagi setiap pengguna yang membayar (ARPPU) Jumlah hasil kasar produk dalam apl dibahagikan dengan bilangan pembeli unik (pembeli yang membuat sekurang-kurangnya satu pembelian produk dalam apl daripada dalam dan luar percubaan) dalam tempoh masa yang tertentu bagi percubaan. Metrik ini akan membantu anda memahami nilai pembeli kepada perniagaan anda.
Nisbah pembeli (28 hari)

Peratusan pengguna aktif sebulan yang membuat sekurang-kurangnya satu pembelian produk dalam apl semasa percubaan, termasuk produk dalam apl daripada luar percubaan.

Nota: Metrik ini penting untuk memahami penukaran pembeli dan meningkatkan saiz pangkalan pengguna berbayar anda.

Pembeli Pembeli unik yang membeli sekurang-kurangnya satu produk dalam apl pada harga percubaan sepanjang tempoh masa yang ditentukan.
Hasil pemasang baharu Hasil kasar daripada pengguna yang memasang apl untuk kali pertama pada mana-mana peranti selepas tarikh mula percubaan dan melihat harga percubaan untuk kali pertama. Harap maklum bahawa sesetengah pengguna menarik diri daripada berkongsi data ini dengan Google.
Pesanan Bilangan pembelian produk dalam apl percubaan yang dibuat semasa percubaan sepanjang tempoh masa yang tertentu.
Hasil Hasil kasar daripada pengguna percubaan yang membeli produk dalam apl dalam percubaan sepanjang tempoh masa yang tertentu.
Takrifan metrik (eksport CSV)

Jadual ini menyenaraikan medan, format dan contoh bagi takrifan metrik yang dieksport sebagai fail CSV.

Medan

Format Contoh dan nota
Tarikh Rentetan

23 Mac 2023

Tarikh pesanan berdasarkan Zon Waktu Pasifik (dalam format HH BBB TTTT).

ID SKU Rentetan

treasure_chest_for_new_users

ID unik produk dalam apl yang ditentukan oleh pembangun.

Tajuk Produk Rentetan

coins, monthly subscription, dan sebagainya.

Nama produk dalam apl yang ditentukan oleh pembangun.

Negara Rentetan

BR, US, FR and sebagainya.

Kod negara unik untuk metrik produk dalam apl yang berkaitan.

Cabang Eksperimen Rentetan

KAWALAN, A, B

Cabang eksperimen untuk metrik produk dalam apl yang berkaitan.

Mata Wang Pembangun

Rentetan

USD, EUR, THB dan sebagainya.

Mata wang penukaran bagi pesanan. Rentetan ini ialah mata wang tempatan yang anda terima.

Hasil Angka

2794.60

Jumlah hasil kasar bagi produk dalam apl yang tertentu (berdasarkan tarikh, negara dan cabang eksperimen).

Hasil Pemasang Baharu Angka

577.20

Hasil kasar daripada pengguna yang memasang apl untuk kali pertama pada mana-mana peranti selepas tarikh mula percubaan dan melihat harga untuk kali pertama (berdasarkan produk dalam apl tertentu, tarikh, negara dan cabang eksperimen). Harap maklum bahawa sesetengah pengguna menarik diri daripada berkongsi data ini dengan Google.

Pesanan Angka

240

Jumlah pesanan bagi produk dalam apl yang tertentu (berdasarkan tarikh, negara dan cabang eksperimen).

Pembeli Angka

197

Jumlah pembeli bagi produk dalam apl yang tertentu (berdasarkan tarikh, negara dan cabang eksperimen). Pembeli ialah pengguna yang membeli produk dalam apl yang tertentu semasa percubaan.

Soalan lazim

Kuncupkan semua Kembangkan semua

Di negara/rantau manakah boleh saya menjalankan percubaan?

Negara/rantau layak untuk percubaan harga hanya jika negara/rantau tersebut memenuhi kriteria yang berikut:

Mengapakah saya tidak dapat melihat sebarang data pada halaman analisis percubaan saya?

Tiada data yang tersedia sekiranya jumlah data terlalu rendah. Selain itu, paparan sesetengah data pada halaman analisis percubaan anda mungkin mengalami kelewatan hingga tujuh hari.

Adakah saya boleh menggunakan produk dalam apl yang dipautkan kepada templat harga?

Ya. Sila ambil maklum bahawa sekiranya anda menjalankan percubaan yang menampilkan produk dalam apl yang dipautkan kepada templat harga, harga negara/rantau percubaan dikunci sepanjang tempoh percubaan harga. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menukar harga untuk negara/rantau lain.

Sekiranya anda memilih untuk menggunakan harga baharu pada penghujung percubaan, semua produk dalam apl percubaan akan dinyahpautkan daripada templat harga yang berkaitan dan templat harga akan kekal tidak berubah. Jika anda mahu menggunakan keputusan percubaan tanpa menyahpautkan produk dalam apl anda daripada templat harga, terus akses halaman Templat harga (Persediaan > Templat harga) dan kemas kinikan harga pada templat tersebut.

Untuk mengetahui lebih lanjut, lihat templat harga.

Adakah saya boleh menguji harga yang lebih rendah atau lebih tinggi daripada had semasa yang ditetapkan bagi setiap negara?

Tidak, harga percubaan hanya boleh diuji dalam julat harga minimum dan maksimum yang ditakrifkan bagi setiap negara/rantau. Apabila perubahan harga dimasukkan semasa persediaan percubaan, harga akan ditetapkan kepada harga minimum atau maksimum secara automatik jika harga tersebut berada pada salah satu had. Untuk menyemak senarai julat harga dan mata wang yang dibenarkan mengikut negara, lihat Lokasi yang disokong untuk pengedaran kepada pengguna Google Play.

Adakah saya perlu menggunakan Pustaka Google Play Billing 5 untuk menjalankan percubaan harga?

Tidak, jika apl anda telah disepadukan dengan mana-mana versi sistem pengebilan Google Play, anda boleh menjalankan percubaan harga.

Bagaimanakah boleh saya melihat sekiranya pengguna membuat pembelian pada harga varian dan bukan kawalan?

Semua pesanan percubaan boleh dilihat dalam laporan kewangan bulanan boleh dimuat turun (laporan anggaran jualan dan laporan pendapatan). Anda boleh melihat produk dalam apl percubaan yang dibeli pada harga kawalan atau varian untuk negara/rantau percubaan harga anda dijalankan.

Adakah saya boleh menggunakan ujian A/B yang lain dan percubaan harga pada masa yang sama?

Kami mengesyorkan agar anda tidak menjalankan sebarang percubaan A/B secara serentak memastikan keputusan yang diperoleh adalah bermakna. Sebagai contoh, Firebase berfungsi secara berasingan daripada percubaan harga dalam Play Console dan sebarang gangguan terhadap produk dalam apl yang tertentu boleh memberikan kesan kepada keandalan keputusan percubaan.

Apakah kaedah yang digunakan untuk menentukan keertian statistik?

Kami menggunakan teknik jackknife (alat statistik yang membolehkan anggaran varians melalui pensampelan semula) untuk mengira selang keyakinan dan menggunakan ujian kebarangkalian berjujukan campuran untuk mengawal kadar positif palsu yang telah dibesar-besarkan melalui pemantauan berterusan. Keertian statistik ditentukan apabila selang keyakinan tidak bersilang dengan sifar.

Apakah kebenaran yang saya perlukan untuk menggunakan alat percubaan harga?

Anda mestilah memiliki kebenaran Urus kehadiran gedung dan kebenaran Lihat data kewangan untuk menggunakan percubaan harga.

Mengapakah percubaan saya dihentikan?

Percubaan berhenti secara automatik 14 hari selepas percubaan mencapai keertian statistik atau tempoh percubaan maksimum iaitu enam bulan. Kami tidak menghentikan percubaan apabila anggaran tempoh yang diberikan semasa persediaan percubaan dicapai, sebaliknya kami menghentikan percubaan selepas perbezaan berkeertian statistik dikesan dan tempoh masa 14 hari diberikan untuk menggunakan harga baharu sebelum harga kembali kepada harga asal.

Adakah terdapat kemungkinan pengguna (menggunakan akaun dan peranti yang sama) boleh melihat harga harian yang berbeza selepas percubaan bermula?

Tidak boleh. Pengguna hanya akan melihat satu harga sepanjang tempoh percubaan.

Adakah saya boleh menambahkan negara/rantau pada percubaan langsung?

Tidak boleh kerana percubaan telah mula mengumpulkan keputusan dengan parameter yang anda pilih pada mulanya. Anda boleh sama ada menjalankan percubaan kedua selari dengan tambahan negara/rantau yang dipilih atau anda boleh menamatkan percubaan semasa dan menyediakan percubaan baharu. Harap maklum bahawa sekiranya terdapat pertindihan produk dalam apl dan negara/rantau, anda perlu menunggu selama 30 hari sebelum anda boleh menyediakan percubaan baharu.

Mengapakah saya tidak dapat menghasilkan semula keputusan yang sama seperti percubaan harga saya?

Keertian statistik dikira merentas semua negara/rantau digabungkan dengan produk percubaan dan bukannya dikira secara berasingan untuk setiap gabungan. Sekiranya anda berminat untuk melaraskan harga di negara/rantau tertentu, kami mengesyorkan agar anda hanya memilih negara/rantau tersebut dalam persediaan percubaan.

Adakah saya masih boleh menggunakan varian selepas percubaan berhenti atau ditamatkan?

Ya, anda boleh menggunakan varian walaupun selepas harga telah kembali kepada harga asal.

Mengapakah sesetengah percubaan menghasilkan keputusan tidak muktamad?

Sekiranya produk dalam apl percubaan anda tidak menjana hasil yang berbeza secara ketara daripada kawalan anda atau data tidak mencukupi, keputusan dianggap sebagai tidak muktamad. Untuk hasil ini, terdapat kemungkinan bahawa pembeli tidak peduli akan kedua-dua harga.

Secara umumnya, adakah lebih baik untuk menjalankan percubaan yang menampilkan satu produk dalam apl atau berbilang produk dalam apl pada satu-satu masa?

Secara umumnya, saiz sampel yang lebih besar memberikan kelebihan yang lebih besar. Sekiranya produk dalam apl tunggal yang anda rancang untuk uji ialah salah satu produk paling popular dengan pembeli yang ramai, maka tindakan menguji produk dalam apl itu sahaja mungkin berbaloi. Jika tidak, kami menggalakkan anda untuk menguji berbilang produk dalam apl bersama-sama untuk mengoptimumkan percubaan anda.

Jika anda menawarkan berbilang produk dalam apl yang boleh ditukar ganti setakat tertentu (sebagai contoh, USD 0.99 untuk 60 unit mata wang dalam apl dan USD 4.99 untuk 300 unit mata wang dalam apl), maka kami menggalakkan anda untuk menguji kedua-dua produk dalam apl bersama-sama untuk mengelakkan pengkanibalan.

Adakah saya patut menjalankan percubaan dengan satu atau dua varian?

Secara umumnya, kami mengesyorkan percubaan dengan satu varian, menggunakan produk dalam apl yang ditetapkan pada harga asal sebagai kawalan dan produk dalam apl berdiskaun anda sebagai varian. Percubaan dengan dua varian menyediakan produk dalam apl anda yang ditetapkan pada harga asal sebagai kawalan dan menyediakan produk dalam apl yang sama pada dua titik harga yang berbeza. Keputusan daripada percubaan sedemikian mungkin sukar untuk ditafsirkan dan percubaan dua varian mengambil masa yang lebih lama daripada percubaan satu varian untuk mencapai keertian statistik.

Bagaimanakah saya harus mentafsirkan selang keyakinan percubaan saya?

Sekiranya selang keyakinan tidak termasuk nilai sifar dalam kesan yang diperhatikan, keputusan ujian ini dianggap telah mencapai keertian statistik. Dalam keadaan ini, kesan merujuk kepada perbezaan antara perbelanjaan kawalan dengan varian.

Yang berikut ialah contoh rupa selang keyakinan dengan keputusan positif yang muktamad:

CI_conclusive_positive

Yang berikut ialah contoh rupa selang keyakinan dengan keputusan negatif yang muktamad:

CI_conclusive_negative

Yang berikut ialah contoh rupa selang keyakinan dengan keputusan tidak muktamad yang memerlukan lebih banyak data:

CI_not_conclusive

Adakah Google memberikan sebarang perlindungan kepada pembangun daripada arbitraj harga?

Ya, kami memantau penipuan lokasi pengguna secara berterusan dan mengambil langkah untuk mengurangkan kesan terhadap pembangun kami dan produk mereka.

Kandungan berkaitan

Adakah perkara ini membantu?

Bagaimanakah dapat kami meningkatkannya?

Perlukan bantuan lanjut?

Cuba langkah seterusnya ini:

true
Cari
Kosongkan carian
Tutup carian
Menu utama
7394377926475404860
true
Cari di Pusat Bantuan
true
true
true
true
true
92637
false
false