Dasar program yang disenaraikan di bawah digunakan pada kandungan apabila menggunakan Google Classroom. Hal ini termasuk semua ciri Classroom seperti nama kursus, maklumat yang dikongsi dalam strim kelas, komunikasi dan kerjasama antara guru, pelajar, dan bahan kelas. Dasar program yang disenaraikan di bawah memainkan peranan penting untuk mengekalkan pengalaman positif untuk semua orang yang menggunakan produk Google.
Kami perlu mengekang penyalahgunaan yang mengancam keupayaan kami untuk menyediakan perkhidmatan ini, dan kami menghendaki setiap orang mematuhi dasar di bawah bagi membantu kami mencapai matlamat ini. Setelah kami diberitahu tentang kemungkinan pelanggaran dasar, kami akan menyemak kandungan itu dan mengambil tindakan, termasuk mengehadkan akses kepada kandungan, mengalih keluar kandungan di seluruh dunia, dan mengehadkan atau menamatkan akses pengguna kepada produk Google.
Apabila mengenakan dasar ini, kami mungkin membuat pengecualian berdasarkan pertimbangan pendidikan, dokumentari, saintifik, atau kesenian, atau jika terdapat manfaat lain yang cukup banyak kepada orang ramai apabila tidak mengambil tindakan ke atas kandungan itu.
Pastikan anda menyemak semula dari semasa ke semasa kerana dasar ini mungkin berubah. Sila rujuk Syarat Perkhidmatan Google, Dasar Privasi, dan syarat perkhidmatan serta dasar untuk perkhidmatan Workspace, termasuk Google Drive, Docs, Gmail dan Calendar.
Laporkan penyalahgunaan
Jika anda percaya bahawa seseorang melanggar dasar yang terdapat di bawah, sila laporkan penyalahgunaan. Jika anda pengguna Workspace, hubungi pentadbir organisasi anda untuk melaporkan pelanggaran dasar ini.
Untuk melaporkan pelanggaran hak cipta atau kandungan lain yang didakwa menyalahi undang-undang, sila gunakan alat ini. Anda akan dibimbing sepanjang proses melaporkan kandungan yang anda percaya patut dialih keluar daripada perkhidmatan Google berdasarkan undang-undang yang bersesuaian.
Dasar Program
Perampasan Akaun
Jangan akses akaun pengguna lain tanpa kebenaran mereka. Kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika kami diberitahu tentang perampasan akaun, termasuk melaporkan anda kepada pihak berkuasa yang berkenaan, mengalih keluar akses kepada sesetengah produk kami, atau melumpuhkan Google Account anda.
Penderaan Seksual & Ancaman terhadap Kanak-kanak
Jangan buat, muat naik atau edarkan kandungan yang mengeksploitasi atau mendera kanak-kanak. Hal ini termasuk semua bahan penderaan seksual kanak-kanak. Untuk melaporkan kandungan pada produk Google yang mungkin mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak, klik “Laporkan penyalahgunaan”. Jika anda menemukan kandungan di tempat lain pada Internet, sila hubungi terus agensi yang berkenaan di negara anda.
Secara umumnya, Google menghalang penggunaan produk kami untuk membahayakan kanak-kanak. Hal ini termasuk tetapi tidak terhad kepada tingkah laku pemangsa terhadap kanak-kanak seperti:
- ‘Antun seksual kanak-kanak’ (contohnya, berbaik-baik dengan kanak-kanak secara dalam talian untuk memudahkan hubungan seksual dan/atau bertukar-tukar imej seksual dengan kanak-kanak itu, secara dalam talian atau luar talian);
- ‘Pemerasan seksual’ (contohnya, mengancam atau memeras ugut kanak-kanak menggunakan akses sebenar atau akses yang didakwa kepada imej kanak-kanak yang terlalu peribadi);
- Penseksualan kanak-kanak bawah umur (contohnya, imej yang menggambarkan, mendorong atau menggalakkan penderaan seksual kanak-kanak atau penggambaran kanak-kanak dengan cara yang boleh mengakibatkan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak); dan
- Pemerdagangan kanak-kanak (contohnya, pengiklanan atau pengumpanan kanak-kanak untuk eksploitasi seksual komersial).
Kami akan mengalih keluar kandungan sedemikian dan mengambil tindakan yang sewajarnya, termasuk melaporkan kandungan itu kepada National Center for Missing & Exploited Children, mengehadkan akses kepada ciri produk, dan melumpuhkan akaun. Jika anda percaya terdapat kanak-kanak dalam bahaya atau yang telah mengalami penderaan, eksploitasi, atau diperdagangkan, hubungi polis dengan segera. Jika anda sudah membuat laporan kepada polis dan masih memerlukan bantuan, atau anda bimbang bahawa terdapat kanak-kanak yang sedang atau telah mengalami bahaya pada produk kami, anda boleh
melaporkan gelagat itu kepada Google.
Pemintasan
Jangan terlibat dalam tindakan yang bertujuan untuk memintasi dasar kami atau mensubversikan sekatan yang dikenakan pada akaun anda. Hal ini termasuk membuat atau menggunakan berbilang akaun atau kaedah lain yang bertujuan untuk melibatkan diri dalam tingkah laku yang telah dilarang sebelum ini. Kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika kami diberitahu tentang pemintasan, termasuk melaporkan anda kepada pihak berkuasa yang berkenaan, mengalih keluar akses kepada sesetengah produk kami, atau melumpuhkan Google Account anda.
Aktiviti Berbahaya & Menyalahi Undang-undang
Jangan gunakan produk ini untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang atau untuk menggalakkan aktiviti, barangan, perkhidmatan, atau maklumat yang boleh menyebabkan kemudaratan serius dan serta-merta kepada orang atau haiwan. Walaupun kami membenarkan maklumat umum untuk tujuan pendidikan, dokumentari, saintifik, atau kesenian tentang kandungan ini, kami menentukan batasnya apabila kandungan tersebut memberikan mudarat dengan mudah atau menggalakkan aktiviti yang menyalahi undang-undang. Kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika kami diberitahu tentang aktiviti yang menyalahi undang-undang, termasuk melaporkan anda kepada pihak berkuasa yang berkenaan, mengalih keluar akses kepada sesetengah produk kami, atau melumpuhkan Google Account anda.
Gangguan, Pembulian & Ancaman
Jangan ganggu, buli atau ancam orang lain. Kami juga tidak membenarkan produk ini digunakan untuk melibatkan diri atau menghasut orang lain supaya terlibat dalam aktiviti ini. Aktiviti ini termasuklah memilih seseorang bagi penyalahgunaan yang berniat jahat, mengancam seseorang dengan kecederaan serius, mengaitkan seseorang secara seksual melalui cara yang tidak diingini, mendedahkan maklumat peribadi orang lain yang boleh digunakan untuk membuat ancaman, meremeh-remehkan atau mengecil-ngecilkan sasaran keganasan atau tragedi, menghasut seseorang untuk melakukan aktiviti ini atau mengganggu seseorang dengan cara lain. Perlu diingat bahawa gangguan dalam talian menyalahi undang-undang di banyak tempat dan boleh membawa kesan yang serius di luar talian bagi pelaku dan juga mangsa. Kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika kami diberitahu tentang ancaman kecederaan atau keadaan berbahaya yang lain, termasuk melaporkan anda kepada pihak berkuasa yang berkenaan, mengalih keluar akses kepada sesetengah produk kami, atau melumpuhkan Google Account anda.
Pertuturan Berunsur Kebencian
Jangan libatkan diri dalam pertuturan berunsur kebencian. Pertuturan berunsur kebencian ialah kandungan yang menggalakkan atau mengizinkan keganasan terhadap atau memiliki tujuan utama untuk menghasut kebencian terhadap individu atau kumpulan berdasarkan bangsa atau asal usul etnik, agama, kecacatan, umur, kewarganegaraan, status veteran, orientasi seksual, jantina, identiti jantina, atau apa-apa sifat lain yang dikaitkan dengan diskriminasi atau pemarginalan sistemik.
Penyamaran & Salah Nyataan Identiti
Jangan menyamar sebagai orang atau organisasi lain atau membuat salah nyataan tentang diri anda sendiri. Hal ini termasuk menyamar sebagai mana-mana individu atau organisasi yang tidak anda wakili; atau memberikan maklumat yang mengelirukan tentang identiti, kelayakan, pemilikan, tujuan, produk, perkhidmatan, atau perniagaan pengguna/laman.
Hal ini juga termasuk kandungan atau akaun yang memberikan salah nyataan atau menyembunyikan pemilikan atau tujuan utama mereka seperti memberikan salah nyataan atau sengaja menyembunyikan negara asal atau butiran penting lain tentang diri anda semasa menujukan kandungan tentang politik, masalah sosial, atau perkara yang melibatkan kepentingan awam kepada pengguna di negara selain negara anda. Kami membenarkan parodi, satira, dan penggunaan nama samaran atau nama pena – cuma elakkan kandungan yang mungkin mengelirukan khalayak anda tentang identiti sebenar anda.
Perisian Hasad & Kandungan Hasad Yang Serupa
Jangan hantar perisian hasad atau sebarang kandungan yang membahayakan atau mengganggu pengendalian rangkaian, pelayan, peranti pengguna akhir atau infrastruktur lain. Hal ini termasuk pengehosan, pembenaman atau penghantaran perisian hasad, virus, kod memusnah atau perisian atau kandungan serupa yang lain yang berbahaya atau tidak dikehendaki, secara langsung. Hal ini juga termasuk kandungan yang menghantar virus, menyebabkan pemaparan tetingkap timbul, percubaan memasang perisian tanpa kebenaran pengguna, atau menjejaskan pengguna dengan kod hasad. Lihat
Dasar Penyemakan Imbas Selamat untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Kandungan Mengelirukan
Jangan edarkan kandungan yang menipu, mengelirukan atau membingungkan pengguna. Hal ini termasuk:
- Kandungan mengelirukan yang berkaitan dengan proses sivik dan demokratik: Kandungan yang jelas palsu dan boleh menjejaskan penyertaan atau kepercayaan dalam proses sivik atau demokratik dengan ketara. Hal ini meliputi maklumat tentang tatacara pengundian awam, kelayakan calon politik berdasarkan umur atau tempat lahir, keputusan pilihan raya, atau penyertaan bancian yang bercanggah dengan rekod kerajaan rasmi. Hal ini juga meliputi dakwaan tidak betul bahawa tokoh politik atau pegawai kerajaan telah mati, terlibat dalam kemalangan, atau sedang menderita sakit mengejut yang serius.
- Kandungan mengelirukan yang berkaitan dengan teori konspirasi yang berbahaya: Kandungan yang mendorong atau mengukuhkan kepercayaan bahawa terdapat individu atau kumpulan yang melakukan tindakan yang menyebabkan bahaya meluas secara sistematik. Kandungan ini bercanggah dengan bukti kukuh dan telah mengakibatkan atau menghasut keganasan.
- Kandungan mengelirukan yang berkaitan dengan amalan kesihatan yang berbahaya: Kandungan kesihatan atau perubatan mengelirukan yang mempromosikan atau menggalakkan orang lain melibatkan diri dalam amalan yang boleh membawa kepada bahaya fizikal atau emosi yang serius kepada individu, atau bahaya kesihatan awam yang serius.
- Media yang dimanipulasi: Media yang telah dimanipulasi atau dipalsukan dengan cara yang mengelirukan pengguna dan boleh menimbulkan risiko serius terhadap bahaya yang keterlaluan.
Imejan Eksplisit Tanpa Persetujuan (NCEI)
Jangan simpan atau edarkan imej atau video bogel, seks eksplisit, atau tidak eksplisit serta imej atau video intim dan seksual peribadi tanpa persetujuan subjek. Jika seseorang telah menghantar imej atau video bogel, seks eksplisit, atau tidak eksplisit serta imej atau video intim dan seksual peribadi anda, sila laporkan perbuatan itu kepada kami
di sini.
Maklumat Sulit & Peribadi
Jangan simpan atau edarkan maklumat peribadi atau sulit orang lain tanpa keizinan. Hal ini termasuk penggunaan maklumat sensitif, seperti nombor Keselamatan Sosial A.S., nombor akaun bank, nombor kad kredit, imej tandatangan, dan dokumen kesihatan peribadi. Dalam kebanyakan keadaan, kami secara umumnya tidak memproses tindakan penguatkuasaan sekiranya maklumat ini tersedia di tempat lain pada Internet atau dalam rekod awam, seperti nombor ID nasional yang disenaraikan pada laman web kerajaan.
Pancingan Data
Jangan gunakan produk ini untuk pancingan data. Hal ini termasuk mengumpan atau mengumpulkan data sensitif seperti kata laluan, butiran kewangan, dan nombor keselamatan sosial.
Barangan & Perkhidmatan Terkawal
Jangan jual, iklankan, atau mudahkan penjualan barangan dan perkhidmatan terkawal. Barangan dan perkhidmatan terkawal termasuk arak, perjudian, farmaseutikal, makanan tambahan yang tidak diluluskan, tembakau, bunga api, senjata, atau peranti kesihatan/perubatan.
Kandungan Seksual Eksplisit
Jangan edarkan kandungan yang terdapat bahan seks eksplisit, seperti kebogelan, aksi seks yang grafik serta bahan pornografi. Hal ini termasuk menghalakan trafik ke laman pornografi komersial. Kami membenarkan kebogelan untuk tujuan pendidikan, dokumentari, saintifik, atau kesenian.
Spam
Jangan hantar spam. Hal ini mungkin termasuk kandungan promosi atau komersial yang tidak dikehendaki, kandungan tidak dikehendaki yang dibuat oleh atur cara automatik, kandungan berulang-ulang yang tidak dikehendaki, kandungan karut, atau apa-apa pengumpanan yang dibuat secara besar-besaran.
Gangguan & Penyalahgunaan Sistem
Jangan salah gunakan produk ini dan jangan membahayakan, merendahkan, atau menjejaskan operasi rangkaian, peranti, atau infrastruktur lain. Hal ini termasuk merendahkan, melumpuhkan, atau mengganggu secara negatif mana-mana aspek produk atau perkhidmatan produk. Kami boleh mengambil tindakan yang sewajarnya jika kami diberitahu tentang gangguan dan penyalahgunaan sistem, termasuk melaporkan anda kepada pihak berkuasa yang berkenaan, mengalih keluar akses kepada sesetengah produk kami, atau melumpuhkan Google Account anda.
Organisasi & Gerakan Ganas
Organisasi dan gerakan bukan kerajaan yang diketahui ganas tidak dibenarkan untuk menggunakan produk ini untuk sebarang tujuan.
Jangan edarkan kandungan yang memudahkan atau menggalakkan aktiviti kumpulan ini, seperti merekrut, menyelaras aktiviti dalam dan luar talian, berkongsi manual atau bahan lain yang boleh memudahkan kemudaratan, mempromosikan ideologi organisasi ganas bukan kerajaan, mempromosikan tindakan pengganas, menghasut keganasan, atau meraikan serangan oleh organisasi ganas bukan kerajaan.
Bergantung pada kandungan, kami juga mungkin mengambil tindakan terhadap pengguna.
Kandungan yang berkaitan dengan organisasi ganas bukan kerajaan mungkin dibenarkan dalam konteks pendidikan, dokumentari, saintifik, atau seni, tetapi sila berikan maklumat yang mencukupi bagi membantu orang ramai memahami konteksnya.
Imej Kanak-kanak Bawah Umur yang Tidak Dibenarkan
Jangan simpan atau edarkan imej kanak-kanak bawah umur tanpa persetujuan yang jelas daripada ibu bapa, penjaga, atau wakil sah kanak-kanak itu. Jika seseorang telah menyimpan atau mengedarkan imej kanak-kanak bawah umur tanpa persetujuan yang diperlukan, sila laporkan perbuatan itu kepada kami
di sini.
Keganasan & Kengerian
Jangan simpan atau edarkan kandungan ganas atau ngeri yang melibatkan orang atau haiwan sebenar jika tujuan utamanya hanyalah untuk membuat kejutan, kegemparan, atau tujuan yang tidak sepatutnya. Hal ini termasuk bahan yang sangat grafik, seperti pemotongan anggota badan atau bahan visual mayat dicacatkan yang dirakam dari jarak dekat, dan bahan grafik, seperti kandungan yang memaparkan darah yang banyak. Kandungan mungkin dibenarkan dalam konteks pendidikan, dokumentari, saintifik atau artistik, tetapi sila berikan maklumat yang mencukupi bagi membantu orang ramai memahami konteksnya. Dalam sesetengah keadaan, kandungan mungkin tersangat ganas atau mengejutkan sehingga tiada konteks yang akan membolehkan kandungan itu kekal pada platform kami. Akhir sekali, jangan galakkan orang lain melakukan tindakan keganasan tertentu.
Dasar Tambahan
Pelanggaran Hak Cipta
Jangan edarkan kandungan berhak cipta tanpa keizinan atau memberikan pautan kepada laman yang membolehkan orang mendapat muat turun kandungan berhak cipta tanpa keizinan. Dasar kami menghendaki kami bertindak terhadap notis nyata tentang dakwaan pelanggaran hak cipta. Pelanggaran hak harta intelek, termasuk hak cipta, secara berulang-ulang boleh mengakibatkan akaun ditamatkan. Jika anda menyaksikan pelanggaran dasar hak cipta Google, laporkan pelanggaran hak cipta.
Akaun Pengguna
Pelajar tidak boleh menggunakan produk ini dengan Google Account peribadi semasa berada di sekolah. Untuk menggunakan produk ini dengan pelajar, sekolah mestilah mendaftar untuk akaun
Workspace for Education. Jika anda percaya bahawa produk ini digunakan di sekolah dengan akaun peribadi,
laporkan kelas tersebut.