Dasar Kandungan Penerbit untuk Google Play Books

Untuk tujuan Dasar Kandungan ini, istilah "Buku" digunakan bagi kandungan e-Buku dan buku audio.

Dasar Kandungan

Dasar kandungan kami memainkan peranan penting bagi memastikan pengalaman yang positif untuk pengguna dan rakan kongsi penerbitan kami. Sila sertai kami dalam usaha ini dengan mematuhi garis panduan ini. Kami mungkin membuat pengecualian terhadap dasar ini berdasarkan pertimbangan dari segi seni, pendidikan, sejarah, dokumentari atau saintifik, atau apabila terdapat faedah besar yang lain kepada orang ramai. Dasar ini tertakluk pada perubahan, oleh itu sila semak kembali untuk mendapatkan kemaskinian. Sila rujuk juga Syarat Perkhidmatan Google Play untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Dasar kami adalah seperti yang berikut:

Spam, kandungan yang mengelirukan & mengecewakan

Jangan berikan kandungan yang mengelirukan pengguna, menyediakan pengalaman pengguna yang tidak memuaskan, yang boleh dianggap sebagai spam, atau perisian hasad. Bahan yang tidak dibenarkan termasuk tetapi tidak terhad kepada:
  • Kandungan promosi atau komersial yang tidak diingini
  • Kandungan yang boleh didapati dengan mudah dalam talian tanpa caj
  • Pengumpanan yang tidak diingini atau secara besar-besaran
  • Penghantaran perisian hasad, virus atau apa-apa yang boleh mengganggu perkhidmatan atau memudaratkan pengguna lain
  • Buku yang mudah disalah anggap sebagai apl atau bentuk kandungan digital yang lain
  • Sampel yang tujuan utamanya adalah untuk mengiklankan atau mendorong pembelian Buku lain
  • Metadata mengelirukan yang sama seperti Buku sedia ada, termasuk tajuk, penulis, perihalan atau kulit buku yang mengelirukan, atau yang mungkin menyebabkan kekeliruan disebabkan oleh format Buku itu
  • Buku yang ada masalah kualiti dalam satu atau beberapa fail kandungan yang menyebabkan kandungan sukar difahami
  • Audio yang terutamanya muzik, kecuali untuk lagu berunsur pendidikan, atau persembahan yang menggabungkan cerita dengan muzik
  • Kandungan audio bacaan mesin berkualiti rendah

Kandungan domain awam

Pelbagai versi Buku yang sama akan mengelirukan pengguna kami dan hampir tidak memberikan apa-apa nilai yang berharga. Oleh sebab pengedaran salinan Buku yang meluas, Buku yang mengandungi bahan domain awam tidak diterima lagi, kecuali daripada rakan kongsi terpilih.

Penyampaian kandungan bukan eksklusif

Kadangkala Google menerima Buku yang sama daripada beberapa pihak. Sesetengah atau kesemua pihak tersebut mungkin mempunyai hak penerbitan bagi Buku tersebut. Google tidak boleh menjadi pengantara untuk meleraikan konflik hak yang mungkin timbul antara penulis, penerbit dengan pihak lain. Walaupun begitu, kami akan cuba mengambil sikap amat berhati-hati bagi mengelakkan penyalinan tanpa kebenaran. Kami juga mungkin menolak salinan pendua bagi Buku yang sama kerana sebuah Buku yang sama tetapi mempunyai pelbagai versi akan mengelirukan pengguna kami.

Jika anda berpendapat bahawa pihak lain telah menerbitkan kandungan anda tanpa keizinan anda, sila baca lebih lanjut tentang dasar hak cipta Google.

Sekiranya kami tidak dapat mengesahkan bahawa anda diizinkan untuk memuat naik kandungan dalam akaun, kami mungkin juga tidak meluluskan akaun anda.

Bahan Berunsur Ganas, Ancaman, atau Jelik

Kandungan yang menggalakkan kekerasan atau keganasan tidak dibenarkan. Ini termasuk bahan yang bertujuan mengganggu atau yang mengancam untuk menyebabkan kecederaan fizikal yang serius atau kematian kepada individu atau perhimpunan yang menyokong tindakan untuk mencederakan fizikal orang lain. Di samping itu, kami tidak akan membenarkan bahan grafik yang sangat ganas atau skatologikal.

Pertuturan Berunsur Kebencian

Kandungan yang menggalakkan kebencian, keganasan, atau penghapusan kaum terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang dikenal pasti atau yang dilindungi tidak dibenarkan. Kumpulan dan individu yang dilindungi ini termasuk yang berdasarkan bangsa atau etnik, kewarganegaraan (termasuk kerakyatan), agama, kehilangan upaya, jantina, umur, status veteran, orientasi seks atau identiti jantina.

Bahan seks eksplisit

Kami membenarkan kandungan seksual eksplisit dan imej kebogelan yang mengandungi nilai pendidikan, seni, sejarah atau dokumentari. Penerbit mestilah menandai kandungan mereka sebagai "Untuk khalayak matang" pada tab Tetapan Buku dalam Pusat Rakan Kongsi.

Walaupun penjelasan telah dibuat pada perenggan sebelumnya, sekiranya kami mendapati Buku mengandungi kandungan seksual eksplisit, kami boleh mengalih keluar pratonton dan mengehadkan keterlihatan kandungan ini bagi pengguna bawah umur. Perkara ini memastikan Google Play kekal menjadi tempat yang selamat untuk semua pengguna menyemak imbas, mencari dan menemukan Buku.

Walau bagaimanapun, kami tidak membenarkan jenis kandungan yang berikut:

  • Imej kebogelan dan/atau perihalan audio seks eksplisit tanpa nilai pendidikan, seni, sejarah atau dokumentari
  • Kandungan pornografi
  • Teks berunsur seks eksplisit dalam mana-mana metadata Buku (iaitu tajuk, sari kata atau perihalan)
  • Kandungan teks, imej atau audio berunsur seks eksplisit yang menggambarkan perlakuan seks melampau seperti perbuatan pedofilia atau hubungan seks dengan haiwan
  • Kandungan yang menghalakan trafik kepada perkhidmatan pornografik dalam talian

Harap maklum bahawa kami boleh membuat pengecualian berdasarkan pertimbangan seni, pendidikan, sejarah, dokumentari atau saintifik, atau jika terdapat manfaat besar yang lain kepada orang ramai.

Aktiviti penipuan atau penyalahgunaan

Penerbit tidak akan terlibat dalam gelagat penipuan yang menyebabkan pembelian Buku atau akses kepada Google Play Books menerusi mana-mana cara yang berunsur automasi, pengeliruan, penipuan, atau cara lain yang tidak sah. Gelagat penipuan termasuk tetapi tidak terhad kepada:

  • Penggunaan robot atau alatan automatik lain
  • Permintaan carian yang dijana komputer
  • Penggunaan perisian, kad kredit, atau kad hadiah palsu

Keselamatan kanak-kanak

Google mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap penderaan seksual kanak-kanak sama ada dalam bentuk teks, imejan, atau audio. Kami melarang sekeras-kerasnya penggunaan Google Play untuk menghasilkan, memiliki, atau mengedar teks, imejan atau audio penderaan seksual kanak-kanak. Harap maklum bahawa kami bekerjasama rapat dengan penguat kuasa undang-undang. Kami akan melaporkan penyebar eksploitasi kanak-kanak dan sebarang kandungan yang menggalakkan aktiviti-aktiviti ini akan dialih keluar. Pelanggaran berulang, atau pelanggaran besar tertentu terhadap dasar ini akan mengakibatkan penyahaktifan akaun.

Maklumat Peribadi dan Sulit

Jangan kongsi maklumat peribadi atau sulit. Kami melarang penjualan atau pengedaran maklumat peribadi dan sulit tanpa kebenaran, seperti butiran kad kredit, nombor Keselamatan Sosial, nombor lesen memandu dan nombor lesen yang lain, atau apa-apa maklumat lain yang tidak boleh diakses secara umum. Sentiasa ingat bahawa dalam kebanyakan keadaan, maklumat yang telah tersedia pada tempat lain dalam Internet atau rekod awam tidak dianggap sebagai peribadi atau sulit menurut dasar kami.

Aktiviti yang Menyalahi Undang-undang

Jangan melibatkan diri dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang di Google Play. Jika kami dimaklumkan mengenai aktiviti yang menyalahi undang-undang, kami akan mengambil tindakan sesuai yang mungkin merangkumi melumpuhkan akses kepada produk kami, menggantung Google Account anda atau melaporkan anda kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Hak cipta

Hormati undang-undang hak cipta. Kami akan mengambil tindakan terhadap notis dakwaan pelanggaran hak cipta. Pelanggaran hak harta intelek yang berulang termasuk hak cipta akan mengakibatkan penamatan akaun. Baca lebih lanjut tentang dasar hak cipta Google.

Tanda dagangan

Kami tidak membenarkan buku yang melanggar tanda dagangan pihak lain. Tanda dagangan ialah perkataan, simbol, atau gabungan yang mengenal pasti sumber barangan atau perkhidmatan. Setelah diperoleh, tanda dagangan memberi pemilik hak eksklusif untuk menggunakan tanda dagangan tersebut pada barangan atau perkhidmatan tertentu.

Pelanggaran tanda dagangan bermaksud penggunaan tanda dagangan yang sama atau serupa dengan cara yang tidak betul atau tanpa kebenaran yang mungkin menyebabkan kekeliruan berkaitan sumber produk itu. Kami akan bertindak untuk menyelesaikan notis dakwaan pelanggaran tanda dagangan.

Semakan & penguatkuasaan dasar

Untuk menyemak kandungan pada Google Play Books, kami menggunakan gabungan penilaian automatik dan manusia. Apabila menilai kandungan atau akaun untuk menentukan sama ada perkara tersebut melanggar dasar kami atau tidak, kami mengambil pelbagai maklumat sebagai pertimbangan semasa membuat keputusan, termasuk metadata buku seperti tajuk buku, foto muka depan dan perihalan, maklumat akaun, kandungan buku dan maklumat lain yang diberikan melalui mekanisme pelaporan (jika berkenaan) dan semakan inisiatif sendiri.

Kami akan mengalih keluar kandungan yang melanggar dasar kami serta berbahaya kepada pengguna dan keseluruhan ekosistem Google Play. Penggunaan model automatik membantu kami mengesan lebih banyak pelanggaran dan menilai masalah yang mungkin berlaku dengan lebih pantas, seterusnya membantu kami memastikan Google Play Books selamat untuk semua pengguna. Pengendali dan penganalisis terlatih menjalankan penilaian kandungan seperti melakukan penentuan berkontekstual mengikut keperluan.

Jika akaun atau Buku anda didapati melanggar dasar, kami boleh:

  • Mengalih keluar atau mengehadkan keterlihatan bahan tersebut
  • Mematikan pratonton bahan tersebut
  • Melumpuhkan akses anda kepada satu atau beberapa produk Google
  • Memadamkan Google Account anda
  • Melaporkan bahan yang menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang yang bersesuaian
  • Mendebitkan akaun anda untuk menampung bayaran balik kepada pelanggan
  • Menggantung pembayaran untuk sementara waktu atau secara kekal

Jika anda tidak bersetuju menerima keputusan kami, anda boleh menemukan maklumat lanjut tentang pilihan anda untuk membuat rayuan. Ketahui cara membuat rayuan terhadap keputusan. Rayuan mungkin tidak tersedia dalam semua keadaan (mis., pengalihan keluar tertentu di bawah perintah mahkamah). Anda seharusnya menerima lebih banyak maklumat tentang pilihan rayuan anda dalam pemberitahuan yang kami hantar kepada anda berkenaan dengan kandungan atau akaun anda.

Apabila Buku sedang menjalani semakan kandungan untuk mengetahui sama ada terdapat pelanggaran Dasar Kandungan kami, kami boleh melumpuhkan pratonton pada Google Play dan carian Google Books buat sementara waktu.

Kami tidak akan mengalih keluar atau mengambil tindakan lain hanya kerana seorang pengguna tidak bersetuju dengan bahan tertentu atau merasakan bahan tersebut tidak sesuai. Kami faham bahawa orang ramai mungkin mempunyai sudut pandangan yang berbeza dan kami mengambil kira perkara ini apabila menyemak laporan penyalahgunaan.

Google berhak untuk tidak menjual mana-mana Buku yang diserahkan kepada Google Play pada bila-bila masa mengikut budi bicara mutlak Google.

Perlukan bantuan lanjut?

Cuba langkah seterusnya ini:

Cari
Kosongkan carian
Tutup carian
Apl Google
Menu utama
13536024739950268117
true
Cari di Pusat Bantuan
true
true
true
true
true
82437
false
false